GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang yang baharu.
Choon Aik, 52, yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang dipilih menggantikan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol juga daripada PKR yang ditamatkan perkhidmatannya, Rabu lalu.
Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Seri Mutiara di sini, kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Choon Aik yang juga seorang seorang perancang bandar bertauliah telah dua penggal menjadi ADUN Bukit Tambun, di mana dia pertama kali memenangi kerusi itu pada 2018 sebelum mempertahankannya pada Pilihan Raya Negeri 2023.
Ahli keluarga terdekat, termasuk ibunya Tan Ah Ti, 97, serta anak lelakinya Goh Kwan Yang, 24, turut hadir menyaksikan majlis berkenaan.
Choon Aik berkata, beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam tempoh perkhidmatan yang masih berbaki.
“Masa saya tidak panjang. Jadi, saya akan memikul amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi. Saya percaya pembangunan ekonomi mampan dan keharmonian sosial adalah asas untuk Pulau Pinang terus kekal sebagai negeri yang stabil, progresif dan makmur,” katanya.
Katanya, beliau juga akan bertemu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk memahami portfolio yang diberikan terhadapnya dengan lebih jelas.
“Tugas paling penting adalah berusaha bersungguh-sungguh memenuhi keperluan rakyat dan kerajaan negeri, serta merealisasikan manifesto Pilihan Raya Negeri 2023,” katanya. – UTUSAN










