Mastercard uji transaksi agentik AI pertama di Malaysia bersama CIMB, RHB

Mastercard uji transaksi agentik AI pertama di Malaysia bersama CIMB, RHB

NAIB Pengerusi Mastercard, Tim Murphy (tengah).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mastercard selesai melaksanakan transaksi agentik pertama yang disahkan di Malaysia menerusi projek perintis bersama CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) dan RHB Banking Group (RHB), sekali gus menandakan perkembangan baharu dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi perdagangan digital yang lebih selamat dan dipercayai.

Projek perintis itu menggunakan penyelesaian Mastercard Agent Pay, dengan transaksi dimulakan oleh ejen AI dalam persekitaran terkawal bagi memastikan tahap keselamatan, ketelusan dan kawalan penuh kepada pengguna.

Melalui percubaan tersebut, AI ditunjukkan mampu membantu pengguna melaksanakan tugasan harian seperti menempah pengangkutan secara selamat dan lancar.

Dalam ujian pertama, ejen AI menempah perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke KL Sentral melalui hoppa, penyedia mobiliti global.

Transaksi berkenaan menggunakan kelayakan yang ditokenkan dan disahkan melalui Mastercard Payment Passkeys bagi memastikan pengesahan pelanggan yang kukuh serta perlindungan data yang lebih baik.

Menurut Mastercard, projek perintis itu membuktikan kebolehlaksanaan teknikal dan operasi transaksi agentik di Malaysia, sekali gus membuka potensi baharu bagi pembayaran yang dipacu AI.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan komersial teknologi tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat.

Mastercard berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan bank pengeluar serta rakan kongsi bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman pengguna mengenai perdagangan agentik, selain memastikan mereka dapat menggunakan pembayaran berasaskan AI dengan selamat dan yakin.

Pengurus Negara Mastercard Malaysia, Beena Pothen berkata, transaksi agentik langsung pertama Mastercard di Malaysia menunjukkan bagaimana AI boleh terlibat dalam aktiviti perdagangan secara bertanggungjawab.

“Melalui Agent Pay, kami menyepadukan elemen kepercayaan, pengesahan dan ketelusan secara langsung dalam pembayaran yang dipacu AI.

“Dengan kerjasama CIMB dan RHB, kami memenuhi piawaian tokenisasi tertinggi sekali gus meningkatkan keselamatan serta perlindungan pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Berhad dan CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu berkata, pencapaian ini menonjolkan bagaimana AI boleh memudahkan interaksi harian tanpa menjejaskan kawalan pelanggan.

“Ia mencerminkan visi CIMB terhadap perbankan yang intuitif dan terintegrasi secara lancar dalam kehidupan. Kerjasama kami dengan Mastercard membolehkan kami menawarkan pengalaman berasaskan AI yang selamat dan bertanggungjawab kepada pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Banking Group, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, AI membuka ruang kepada cara baharu untuk berinteraksi dan bertransaksi, namun kepercayaan mesti menjadi asas utama.

“Pencapaian ini menunjukkan bagaimana reka bentuk yang teliti serta kerjasama kukuh dalam industri mampu menjadikan teknologi baharu lebih selamat dan bermakna kepada pengguna.

“Bersama Mastercard, kami membentuk bab seterusnya dalam perdagangan pintar dan selamat bagi terus mempertingkatkan perjalanan digital pelanggan,” jelasnya. – UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×