KUALA LUMPUR: Seorang jurujual didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan membantu menyembunyikan wang sebanyak RM319,000 milik seorang pensyarah, tahun lalu.
Hakim Azrul Darus turut memerintahkan tertuduh, Wong Jun Wah, 30, dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Jun Wah didakwa menyembunyikan wang sebanyak RM319,000 milik seorang pensyarah wanita yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, pada 3 April 2024 dan 26 September 2025.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham mencadangkan denda yang setimpal mengambil kira jumlah kerugian yang dialami mangsa.
Bagaimanapun, peguambela, Evie Melynda Jee memohon denda yang rendah kerana tertuduh masih bujang dan perlu menanggung ibu bapanya serta hanya berpendapatan RM3,500 sebulan sebagai jurujual.
Mengikut fakta kes, mangsa, seorang pensyarah di sebuah kolej vokasional berminat dengan iklan pinjaman wang dalam talian yang diiklankan di Facebook milik tertuduh.
Pada permulaan, mangsa telah membuat pinjaman sebanyak RM50,000 namun hanya memperoleh RM40,000 sebelum terperangkap membuat pinjaman daripada 33 individu membabitkan pinjaman keseluruhan berjumlah RM4.9 juta.
Pengadu kemudian membuat bayaran penuh pinjaman berjumlah RM6.8 juta namun masih diminta untuk terus membuat bayaran tambahan menyebabkannya membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.
Hasil siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju mendapati, terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM319,500 ke dalam akaun bank milik tertuduh. – UTUSAN










