ALOR SETAR: Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri yang tidak dapat memperoleh sokongan dua pertiga ahli parlimen bukan bermaksud kerajaan gagal.
Setiausaha Politik Kanan Presiden PKR, Datuk Romli Ishak berkata, sebaliknya tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak mengundi rang undang-undang itu wajar dipersoalkan memandangkan mereka sebelum ini menyokong agar undang-undang berkenaan dibentangkan.
“Pembangkang yang beria-ia untuk minta supaya jawatan Perdana Menteri ini dihadkan tetapi hari itu seorang pun tidak menyokongnya. Jadi kita tidak tahu apa agenda di sebalik itu. Perdana Menteri sudah melakukan yang terbaik untuk usahakan supaya perkara ini dibawa ke Parlimen.
“Jadi itu bukan kegagalan kerajaan yang berusaha mencadangkan sesuatu yang terbaik untuk sistem demokrasi kita, yang menyedihkan pembangkang kerana kita menjangkakan mereka akan memberi undi penuh,” katanya ketika ditemui selepas program Sumbangan Kasih Ramadan dan Syawal, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Kedah berkata, rakyat negara ini harus bersama Perdana Menteri dalam isu konflik di Asia Barat ketika ini.
“Perdana Menteri cukup berani untuk tampil dan mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan Israel dan sekutunya ke atas Iran. Jadi kita menyeru agar semua pihak mendukung perkara ini,” katanya. – UTUSAN










