KUALA LUMPUR: Serangan dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran sepatutnya menjadi peringatan kepada negara-negara Islam mengenai kepentingan memperkukuh perpaduan serta keberanian menyuarakan pendirian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik yang sedang berlaku di Asia Barat ketika ini memperlihatkan kelemahan jelas dunia Islam dalam menyatakan pendirian bersama.
Bagaimanapun, katanya, situasi semasa menunjukkan dunia Islam masih belum mempunyai kekuatan mencukupi untuk bersuara secara tegas dalam isu yang melibatkan kepentingan umat.
“Perkembangan ini amat membimbangkan dan memperlihatkan kelemahan ketara dunia Islam untuk menyuarakan pandangan secara bersama. Bukan soal berperang, tetapi untuk menyatakan pendirian secara jelas pun masih tidak berupaya.
“Boleh dihitung dengan jari pemimpin Islam yang menyampaikan ucapan takziah susulan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei dan ahli keluarganya akibat peperangan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kumpulan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai keupayaan negara-negara Islam untuk mempertahankan kepentingan serta suara umat di peringkat antarabangsa.
“Pada masa sama, masyarakat diingatkan agar tidak melupakan penderitaan rakyat di Gaza dan Palestin yang terus berdepan kekejaman serta kemusnahan berpanjangan.
“Penderitaan rakyat Palestin yang melibatkan kehilangan nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, selain kemusnahan kemudahan awam seperti hospital dan sekolah, seharusnya menjadi peringatan kepada umat Islam tentang pentingnya solidariti serta kesatuan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru umat Islam mengambil iktibar daripada perkembangan semasa dengan memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kekuatan dalaman masyarakat dan negara masing-masing.
“Malaysia perlu terus memanfaatkan keamanan dan kestabilan yang dinikmati ketika ini bagi memacu pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita masih mempunyai keupayaan untuk memelihara pembangunan negara, termasuk sekolah, hospital dan kemudahan rakyat. Gunakan keamanan yang ada ini sebaik mungkin bagi memastikan masa depan negara terus terjamin,” katanya. – UTUSAN











