PETALING JAYA: Bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai menafikan dirinya sedang melarikan diri selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis mengesan.
Menurut James, beliau bukanlah Jho Low 2.0 yang sedang menyembunyikan diri seperti naratif yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Azam Baki yang memburunya hanya kerana pernah terkait dengan bekas Menteri Ekonomi itu.
Dakwanya, Azam sedang mengesan dirinya tanpa terlebih dahulu menghubunginya susulan agensi itu membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
“Asas siasatan ini ialah dakwaan kononnya berlaku penyelewengan oleh bekas bos saya, Rafizi Ramli dan bahawa urus niaga yang saya terlibat itu telah diluluskan secara tergesa-gesa dan tidak wajar.
“SPRM telah mengeluarkan hebahan awam untuk mengesan saya, seolah-olah saya seorang pelarian dan Azam Baki sendiri mengadakan sidang media mengenai perkara ini.
“Untuk memahami tujuan kempen ini, kita perlu melihatnya secara menyeluruh.
“Naratif utama yang ingin diketengahkan oleh kerajaan ialah bahawa Rafizi Ramli telah menyeleweng RM1.1 bilion daripada kerjasama tersebut, dan saya, James Chai, ialah ‘Jho Low 2.0’ yang membantu Rafizi Ramli dalam perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan, SPRM mengesahkan telah memanggil seorang bekas menteri kanan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan mega semikonduktor bernilai RM1.11 bilion.
Azam berkata, bekas menteri itu adalah antara 12 individu yang telah dipanggil SPRM setakat ini untuk dirakam keterangan dan percakapan.
Susulan itu, SPRM turut mengeluarkan notis sedang mengesan James bagi membantu siasatan.
James mendakwa, sepanjang berkhidmat di kementerian yang sebelum ini diterajui oleh Rafizii, beliau tidak pernah menggunakan kedudukan atau aksesnya untuk kepentingan peribadi.
Katanya, selepas beliau dan rakan-rakan di Pejabat Ekonomi meletakkan jawatan secara kolektif bersama Rafizi pada 17 Jun tahun lalu, Arm Limited telah memintanya membantu dalam tempoh peralihan jangka pendek, dan pada awalnya menolak tawaran tersebut namun akhirnya bersetuju selepas beberapa kali dipujuk.
“Selepas tepat dua bulan, saya meletakkan jawatan daripada peranan jangka pendek itu supaya saya akhirnya boleh meneruskan kehidupan saya,” katanya.
Menurutnya, SPRM turut mengeluarkan notis pencarian awam serta mengadakan sidang media oleh Ketua Pesuruhjaya agensi itu untuk ‘mencarinya’, termasuk memaparkan rumah zaman kanak-kanaknya yang kini didiami ibu bapanya.
“Tindakan itu mendedahkan keluarga saya kepada bahaya yang tidak perlu. Kerajaan mempunyai sumber mencukupi, tetapi tidak dapat mencari nombor WhatsApp saya.
“Mereka boleh bertanya kepada rakan atau bekas rakan sekerja saya dalam kerajaan, atau menghantar e-mel dan mesej melalui media sosial,” katanya.
James yang kini bekerja di United Kingdom dalam bidang risiko kecerdasan buatan (AI) dan dasar kawal selia teknologi berkata, akan terus berjuang menentang apa yang disifatkannya sebagai ketidakadilan terhadap dirinya.
“Saya tahu saya boleh memilih jalan berbeza, tetapi saya tidak akan menyesal berkhidmat untuk negara kerana berkhidmat kepada Malaysia adalah penghormatan terbesar dalam hidup saya. Tiada penindasan akan mengubah hakikat itu,” katanya. – UTUSAN










