PETALING JAYA: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 27.4 Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kira-kira pukul 4.47 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas ke dalam gaung dengan sendiri.
“Pasukan penyelamat mendapati terdapat empat lelaki dipercayai tersepit dalam kenderaan terbabit.
“Kesemua mereka berjaya dikeluarkan dan tiga didapati cedera ringan manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi tamat pada pukul 6.08 pagi. – UTUSAN










