AMPANG: Khabar angin bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang menjalani baki hukuman penjaranya di rumah adalah tidak benar.
Perkara itu disahkan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Projek Usahasama Pembangunan Ladang Penanaman Sorgum dan Loji Pemprosesan di sebuah hotel di sini, semalam.
Beliau berkata, ayahnya yang juga bekas Presiden UMNO itu masih berada di dalam penjara dan berada dalam keadaan yang sihat.
“Ayah saya sihat walafiat, setakat ini kami keluarga tidak menerima makluman apa-apa berkenaan permohonan menjalani tahanan di rumah, masih ikut saluran di mahkamah. Bagaimanapun, keluarga masih berharap kalau boleh perkara tersebut dilaksanakan,” katanya.
Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Titah Adendum yang membenarkan Perdana Menteri Ke-6 itu menjalani tahanan di rumah sebagai tidak sah.
Hakim, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian mendapati titah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-61 untuk membenarkan Najib, 72, menjalani hukuman penjara di kediaman sendiri.
Menurutnya, titah itu tidak dibuat mengikut tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana isu tahanan rumah tidak diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.
Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut dilaporkan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib mengesahkan bahawa notis rayuan berkaitan Titah Adendum telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 24 Disember lalu. – UTUSAN











