KUALA LUMPUR: Seramai 13 orang ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang belum lagi dipecat daripada parti itu dijangka memasuki parti baharu bakal disertai Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, penyertaan itu difahamkan akan dilakukan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Katanya, tindakan tersebut tidak boleh dibuat terlalu awal kerana terikat dengan Akta Anti Lompat Parti yang tidak membenarkan mana-mana ahli parti menyertai parti lain sekiranya tidak dipecat.
“Mereka yang belum dipecat ini dan menjadi Bebas, masuk pula parti lain akan dianggap lompat parti, tetapi siapa yang dipecat dan jadi Bebas, masuk pula ke parti lain, mereka ini dianggap ‘kelabu’, namun terserah kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Sebab itu, mereka yang belum dipecat ini saya tidak menolak mungkin mereka akan menyertai parti baharu Hamzah sebaik sahaja Parlimen dibubarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara 13 orang ahli Parlimen itu termasuklah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rasol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu) dan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar).
Selain itu, Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Khir Mohd Nor (Ketereh), Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing) turut dijangka akan menyertai Hamzah.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dilaporkan akan memimpin Parti Keluarga Malaysia bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politiknya selepas dipecat Bersatu bulan lalu.
Pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya berkata, sehingga kini usaha bagi membuka laluan terhadap Ketua Pembangkang terbabit memimpin parti terbabit hampir pasti.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Yadzil berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih teliti sebaik sahaja Parti Keluarga Malaysia ini tertubuh secara rasmi.
“Terserah kepada kebijaksanaan Pas yang dipimpin Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk buat keputusan ini.
“Jumlah ahli Majlis Tertinggi (MT) PN dari Bersatu hanya empat orang setelah seorang dipecat dan dua orang lagi meletak jawatan. Pas pula mempunyai enam ahli MT PN. Ini bermakna Tan Sri Muhyiddin tidak boleh mengeluarkan arahan tertentu kerana ia tertakluk kepada persetujuan bersama dalam PN,” katanya.
Setakat ini, seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Antaranya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Kapten Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).-UTUSAN.










