KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan bahawa beliau akan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia (PKM) dalam masa terdekat.
Ketua Pembangkang itu mengesahkan perkara tersebut selepas perbincangan dengan Pengasas PKM, Khairi Jaya dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, wujud perbincangan teknikal dan rundingan awal mengenai pengambilalihan parti berkenaan, termasuk aspek prosedur perlembagaan dan pentadbiran, bagi memastikan segala proses berjalan lancar sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Ya, kami akan ambil-alih parti tersebut. Perbincangan telah mencapai persetujuan,” kata Hamzah ditemui pemberita di bangunan Parlimen, semalam.
Khairi sebelum ini mendakwa pengambilalihan itu hampir 90 peratus pasti berdasarkan rundingan terkini dengan Hamzah dan Wan Saiful.
Hamzah berkata, segala urusan teknikal dan prosedur perlembagaan sedang diselesaikan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Ini melibatkan beberapa aspek teknikal dan perlembagaan, tetapi semuanya hampir selesai,” katanya.
Setakat ini, hasil semakan mendapati, masih tidak menemui mana-mana parti bernama Keluarga Malaysia atau seumpamanya dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pada 20 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Hamzah bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu akan menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat susulan ketidakpuasan hati dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Hamzah. – UTUSAN










