RUU had tempoh PM ditolak kegagalan moral terhadap amanah rakyat

Penolakan RUU had tempoh PM, cerminan kegagalan moral terhadap amanah rakyat

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penolakan terhadap usul mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri dengan alasan remeh atau memilih untuk tidak hadir dalam pengundian adalah kegagalan moral terhadap amanah rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, sejarah telah tercatat bahawa negara hampir melangkah ke hadapan tetapi digagalkan oleh sikap politik sempit dan kurangnya komitmen terhadap reformasi.

“Had tempoh Perdana Menteri bukan soal individu, ia bukan serangan kepada sesiapa tapi mekanisme demokrasi untuk mengelak penumpuan kuasa berpanjangan dan memastikan peredaran kepimpinan yang sihat, selain mengukuhkan semak dan imbang serta menghalang budaya patronage dan politik berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semalam, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi cadangan itu yang dibentangkan gagal mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen, apabila hanya 146 menyokong, sementara 32 tidak hadir dan 44 berkecuali.

Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas ia dibahaskan seramai 41 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan ahli Parlimen.

Mahfuz berkata, ahli Parlimen yang dipilih sepatutnya hadir dan membuat keputusan dalam detik penting negara, bukan berdiam diri ketika masa depan institusi dipertaruhkan.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila usul itu bukan agenda politik mana-mana parti tetapi sebahagian agenda reformasi institusi yang telah dizahirkan sebagai keperluan negara, termasuk dalam titah rasmi Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila reformasi yang disokong dalam titah diraja ini gagal hanya kerana dua undi, persoalan besar timbul adakah kita benar-benar serius mahu melakukan pembaharuan atau sekadar selesa dengan retorik perubahan tanpa keberanian melaksanakannya.

“Namun, saya ingin tegaskan perjuangan memperkukuh institusi tidak akan berhenti di sini kerana reformasi bukan pilihan politik tetapi adalah tuntutan masa depan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini