Keselamatan 29,000 rakyat Malaysia di Asia Barat dijamin

Keselamatan 29,000 rakyat Malaysia di Asia Barat dijamin

ANWAR Ibrahim – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan keselamatan lebih 29,000 rakyat Malaysia berada di Asia Barat yang terjejas akibat serangan besar-besaran Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk memelihara rakyat Malaysia supaya keberadaan dan keselamatan mereka dapat dijamin.

Kata beliau, ramai rakyat yang terkandas disebabkan gangguan penerbangan selain ada yang menetap dan bekerja, melancong dan pergi menunaikan umrah.

“Jumlah yang bertugas di rantau Asia Barat mencecah lebih 29,112 daripada kala­ngan yang berdaftar dan tidak berdaftar. Paling ramai di Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.

“Kita terutama Wisma Putra sedang memantau dengan dekat, sebahagian dibantu oleh kedutaan dan menghubungi sekiranya memerlukan kerjasama untuk membawa pulang walaupun terbantut sekarang kerana penerbangan disekat,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan, lebih 1,000 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang mereka ke tanah air dibatalkan susulan konflik berkenaan.

Anwar berkata, Kementerian Luar akan terus mengaktifkan bilik gerakan, memantau dari dekat dan melakukan apa yang munasabah membantu mereka terkandas untuk pulang ke ta­nah air.

“Kita terutamanya Wisma Putra sedang memantau dari dekat sebahagiannya juga dibantu oleh kedutaan dan menghubungi se­kiranya memerlukan kerjasama membawa pulang, walaupun ter­bantut sekarang kerana ter­sekat penerbangan.

“Penerbangan dibolehkan da­ri Arab Saudi tapi dari negara lain masih lagi belum mendapat kepastian,” katanya.

Sementara itu, Anwar menyeru masyarakat untuk tidak melupakan nasib rakyat Palestin terutama di Gaza.

“Sebaik serangan dari Israel itu dimulakan maka pintu ma­suk Rafah juga ditutup di bulan Ramadan ini dan menyebabkan bantuan, makanan, perubatan kepada rakyat terbantut dan keadaan mereka tentu jauh le­bih gawat,” katanya.

Beliau berkata, bantuan misi kemanusiaan sudah dilancarkan pada kelmarin yang membawa 30 kontena milik Malaysia ke Gaza dengan muatan lebih 334 tan bahan makanan dan kit kebersihan.

“Sumud Darat menandakan komitmen kita kerana kita dan saya bangga anak-anak kita yang tidak lentur semangat mereka untuk mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.

“Pelancaran Sumud Darat juga membuktikan bahawa so­lidariti rakyat melangkaui kaum agama dan latar belakang politik dan kita konsisten untuk berdiri teguh mempertahankan hak rakyat Palestin dan dalam keadaan sekarang membantu meringankan beban hidup akibat kezaliman rejim Zionis Israel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN