KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menumpaskan sindiket penjualan kenderaan mewah pada harga murah selepas melakukan serbuan bersaingan di Kuala Lumpur dan Johor, bulan lalu.
Dalam serbuan menerusi Op Terma itu, JDKM Kelantan merampas 14 buah kereta mewah termasuk motosikal berkuasa tinggi dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM4.4 juta.
Menjalankan Tugas-Tugas Pengarah JKDM Kelantan, Dr. Ishak Ismail berkata, daripada jumlah itu, lapan adalah kereta mewah pelbagai jenama seperti Aston Martin, BMW, Jaguar, Mercedes-Benz dan Maserati serta Toyota.
“Anggaran harga pasaran kenderaan terbabit antara RM30,000 hingga RM700,000 sebuah. Selain itu, enam motosikal jenis Kawasaki turut dirampas dengan anggaran harga antara RM10,000 hingga RM30,000.
“Nilai sebenar kenderaan yang dirampas dianggarkan RM1.5 juta manakala jumlah duti dan cukai yang cuba dielakkan pula mencecah RM2.9 juta, menjadikan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM4.4 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu, di sini hari ini.
Ishak berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menyeludup masuk kenderaan terpakai dari negara jiran sebelum menyimpannya di parkir kondominium, pangsapuri dan taman perumahan sekitar Kuala Lumpur serta Johor Bahru bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, kenderaan tersebut kemudian ditawarkan kepada pelanggan tempatan pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran sebenar, sekali gus menarik minat pembeli yang mahu memiliki kereta mewah tanpa memikirkan risiko undang-undang.
“Pasukan penguat kuasa menjalankan risikan dan pemantauan selama tiga bulan sebelum mengambil tindakan. Kenderaan itu dipercayai digunakan sehingga lima tahun di negara asal sebelum dibawa masuk untuk dijual di negara ini,” ujarnya.
Ishak berkata, kesemua kenderaan berkenaan diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 3, Bahagian I, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










