KUALA NERUS: Program Pelita Raya anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu terus menjadi tumpuan pengunjung apabila menghimpunkan pelbagai penyertaan dari seluruh daerah di negeri ini.
Antara daerah yang mengambil bahagian ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Setiap daerah menampilkan keunikan tersendiri menerusi pameran dan jualan produk kraftangan serta makanan tradisional.
Tidak ketinggalan, penyertaan daripada badan berkanun dan syarikat swasta yang turut memeriahkan program berkenaan yang bermula 27 Februari lalu hingga 3 Mac.
Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan di setiap reruai termasuk demonstrasi penyediaan makanan tradisional dan permainan rakyat.
Seorang pengunjung, Sharifah Alia Syed Mohd, 30, berkata, dia ke Program Pelita Raya buat pertama kali dan nyata tidak menghampakan apabila dapat menyaksikan pelbagai jenis pelita yang dihias kreatif oleh peserta.
“Banyak perkara menarik boleh dilihat di sini antaranya demonstrasi membuat makanan tradisional dan permainan tradisional.
“Saya paling tertarik melihat pelita kekabu dari Besut kerana kini ia jarang dipasang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, wakil dari Perlis, Mohd. Irzat Rozaidy Mohammad Roseli yang juga Pengurus Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkata, ia adalah kali kedua negeri itu menyertai program berkenaan.
Menurutnya, kehadiran Perlis adalah sebagai platform promosi sempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026.
“Kita mahu masyarakat Terengganu berkunjung ke Perlis dan melihat sendiri produk pelancongan yang ditawarkan. Kali ini kita memberi fokus kepada produk buah harum manis yang sememangnya sinonim dengan Perlis.
“Seperti yang diketahui, musim pengeluaran harum manis bermula April ini dan promosi ini sangat bertepatan dengan musim tersebut,” katanya.
Menurut Mohd. Irzat, pihaknya menyasarkan lima juta kedatangan pelancong ke Perlis pada tahun ini menerusi pelbagai inisiatif promosi yang dirancang.
Program Pelita Raya itu bukan sahaja mengangkat warisan tradisional negeri, malah menjadi platform mengukuhkan hubungan antara negeri serta mempromosikan produk pelancongan tempatan kepada masyarakat luar. – UTUSAN











