KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman seorang penjawat awam sebuah pusat pemulihan dadah negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000, sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat tersebut.
Perintah tahanan reman selama enam hari sehingga 7 Mac ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 30-an tersebut ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga merupakan penjawat awam di tempat kerja sama, kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.
“SPRM Terengganu semalam menahan dua penjawat awam pusat pemulihan dadah tersebut berkaitan kes ini bagaimanapun suspek lelaki dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini atas faktor kesihatan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut,” katanya.
Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing dan akaun peribadi pihak ketiga yang mana modus operandi digunakan adalah dengan membawa masuk barang terlarang melalui pembekalan makanan tengah hari.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










