Tandas sekadar ilusi keselamatan, bukan tempat berlindung kebakaran

Tandas sekadar ilusi keselamatan, bukan tempat berlindung kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga di Raub, Pahang baru-baru ini menjadi manifestasi nyata tentang kelemahan kesiapsiagaan masyarakat terhadap risiko kebakaran kediaman. 

Kejadian yang berlaku awal pagi ketika kebanyakan penghuni sedang tidur menggambarkan betapa kebakaran merupakan bencana senyap yang mampu meragut nyawa dalam tempoh yang sangat singkat. 

Pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertungkus lumus menjalankan operasi menyelamat, namun api yang merebak dengan pantas menyebabkan tiga ahli keluarga ditemui tidak bernyawa dalam tandas rumah. 

Kejadian ini bukan sahaja mencerminkan risiko fizikal kebakaran tetapi juga menggambarkan dimensi psikologi manusia ketika berhadapan dengan situasi panik dan ketakutan melampau.

Menurut laporan JBPM, pada 2025 sahaja sebanyak 16,111 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara dengan 98 kematian dan kerugian harta benda dianggarkan melebihi RM2.09 bilion. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 76 peratus merupakan kebakaran struktur seperti rumah dan bangunan. 

Lebih membimbangkan, rumah kediaman mencatatkan kira-kira 55.4 peratus daripada keseluruhan kebakaran struktur. 

Statistik ini menunjukkan rumah tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat sebenarnya merupakan lokasi paling berisiko tinggi berlakunya kebakaran.

Laporan juga menunjukkan sekitar 60 peratus kebakaran rumah di Malaysia berpunca daripada litar elektrik yang rosak atau masalah pendawaian, menjadikan faktor elektrik sebagai penyumbang tertinggi. 

Pendawaian usang, penggunaan soket berlebihan, penyambungan elektrik bertindih serta kegagalan menyelenggara sistem elektrik rumah merupakan antara risiko utama yang sering dipandang ringan. 

Di dapur pula, kecuaian ketika memasak dan kebocoran gas menambah lagi risiko kebakaran domestik. Gabungan faktor teknikal dan kelalaian manusia menjadikan kebakaran rumah sebagai ancaman yang kompleks dan sukar diramal.

Punca kebakaran kediaman sering dikaitkan dengan faktor teknologi dan tingkah laku manusia. Litar pintas elektrik, kecuaian memasak dan penggunaan peralatan elektrik yang tidak diselenggara merupakan antara penyebab utama kebakaran rumah. 

Pendawaian elektrik yang terlalu lama, penggunaan terlalu banyak peranti elektrik pada satu soket kuasa serta meninggalkan peralatan elektrik tanpa pengawasan boleh meningkatkan risiko percikan api. 

Di ruang dapur pula, kebakaran sering bermula daripada minyak masak yang terlalu panas atau kebocoran gas memasak yang tidak disedari. 

Dalam banyak kes, kebakaran bermula sebagai insiden kecil yang boleh dikawal tetapi bertukar menjadi tragedi besar apabila penghuni rumah panik dan gagal mengambil tindakan pengungsian yang betul.

Secara saintifik dan epidemiologi keselamatan kebakaran, kebanyakan kematian dalam kebakaran rumah bukan disebabkan sentuhan langsung dengan api tetapi akibat penyedutan asap toksik yang mengandungi gas karbon monoksida dan bahan kimia berbahaya lain. 

Asap kebakaran mempunyai kecenderungan untuk berkumpul di bahagian atas ruang kediaman, menyebabkan mangsa yang tidak memahami prinsip keselamatan kebakaran mungkin tersilap memilih ruang perlindungan yang lebih berbahaya.

Dalam situasi kebakaran, tandas sering dianggap sebagai tempat selamat kerana adanya sumber air. Namun secara saintifik dan dari sudut keselamatan bangunan, tandas merupakan ruang yang berisiko tinggi kerana bersifat tertutup, mempunyai pengudaraan terhad dan hanya memiliki satu laluan keluar. 

Apabila asap kebakaran memasuki ruang tandas, kepekatan gas toksik boleh meningkat dengan cepat dan menyebabkan mangsa kehilangan kesedaran dalam tempoh yang sangat singkat. 

Dari sudut sosiologi komuniti, tragedi ini menunjukkan kepentingan pendidikan keselamatan kebakaran sebagai satu bentuk intervensi sosial. Masyarakat perlu memahami tindakan pertama apabila kebakaran dikesan ialah segera keluar dari rumah, bukannya mencari tempat untuk bersembunyi. 

 

 

LANGKAH KESELAMATAN

 

Prinsip keselamatan kebakaran moden menekankan konsep ‘dahulukan keselamatan diri’ iaitu keupayaan individu untuk menyelamatkan diri sebelum bantuan profesional tiba. 

Dalam situasi kebakaran, penghuni disaran bergerak rendah berhampiran lantai bagi mengurangkan penyedutan asap, serta menutup hidung dan mulut menggunakan kain lembap sebagai langkah perlindungan sementara. 

Pendidikan seperti ini perlu diterapkan sejak kecil dalam institusi keluarga dan sekolah bagi membentuk budaya keselamatan yang lebih kukuh dalam masyarakat.

Selain pendidikan individu, pembangunan sistem keselamatan kediaman juga perlu diperkasakan. Pemasangan penggera asap merupakan langkah pencegahan awal yang sangat penting kerana mampu memberi amaran awal kepada penghuni sebelum api merebak secara tidak terkawal. 

Penggunaan alat pemadam api mudah alih di rumah turut disarankan sebagai langkah kawalan awal terhadap kebakaran kecil. Selain itu, setiap keluarga perlu membangunkan pelan laluan kecemasan rumah dan menjalankan latihan simulasi kebakaran secara berkala. 

Kesedaran tentang lokasi pintu keluar, tingkap kecemasan dan tempat berkumpul keluarga semasa kecemasan boleh meningkatkan peluang keselamatan ketika tragedi berlaku tanpa diduga.

Dalam konteks komuniti, peranan organisasi masyarakat amat penting dalam mengurangkan risiko kematian akibat kebakaran. Program kesedaran keselamatan kebakaran boleh dilaksanakan melalui kerjasama jawatankuasa penduduk, institusi pendidikan dan agensi keselamatan awam. 

Pendidikan komuniti bukan sekadar menyampaikan maklumat teknikal tetapi juga membina kesedaran emosi yang setiap kehidupan adalah berharga.

Tragedi seperti ini mengingatkan yang kebakaran bukan sekadar kemusnahan harta benda tetapi juga kehilangan kasih sayang, ikatan keluarga dan masa hadapan yang tidak sempat dicapai.

Tragedi ini menjadi peringatan penting yang pendidikan keselamatan kebakaran perlu diperkasakan dalam komuniti. 

Dalam diam, api boleh membunuh, namun dengan ilmu dan kesedaran, nyawa boleh diselamatkan. -UTUSAN

 

 

DR. Zuritah A.Kadir ialah Pensyarah Kanan Program Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

DR. Azuwien Aida Bohari ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×