TEHRAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Israel mendakwa pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan udara.
Trump membuat kenyataan itu melalui platform media sosial beliau, Truth Social setelah merujuk kepada beberapa media antarabangsa.
Bagaimanapun, memetik laporan Al-Jazeera, pihak berkuasa Iran mendakwa pemimpin agung Iran itu masih hidup dan menafikan dakwaan Trump dan media antarabangsa.
Sebelum ini, beberapa sumber tentera Israel serta pegawai AS memberi maklumat bahawa beberapa pemimpin kanan Iran termasuk komander dan pegawai tinggi lain turut terbunuh dalam serangan tersebut.
Serangan ini turut diikuti tindakan balas oleh Iran, termasuk pelancaran misil ke arah Israel dan beberapa negara teluk yang menjadi tuan rumah pangkalan tentera Amerika Syarikat.
Situasi ini mencetuskan kebimbangan global terhadap potensi eskalasi konflik yang lebih besar di Timur Tengah, dengan banyak negara menyeru agar deeskalasi dilakukan segera demi keamanan serantau dan global.-UTUSAN











