S udah menjadi rutin kehidupan berasaskan tuntutan Rukun Islam, umat Islam wajib berpuasa di bulan Ramadan dan mendidik nafsu serta mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan penuh keinsafan.
Hal ini tidak terkecuali dalam usia kanak-kanak yang perlu berlatih berpuasa, manakala dalam peringkat usia remaja dan baligh pula wajib berpuasa malah dikira berdosa meninggalkan Rukun Islam itu tanpa sebab yang diizinkan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas guru bahasa Arab dan kini sukarelawan mengajar al-Quran di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut, Ustazah Nor Ana Ibrahim, 61, berkata, selain membesarkan anak-anak dengan menyediakan makan-minum, pakaian, memberikan kemudahan pelajaran, ibu bapa juga dituntut memberikan bimbingan membaca al-Quran.
“Bukan sahaja pada hari biasa, bertadarus dan menghayati al-Quran perlu bagi anak-anak kita sepanjang Ramadan menerusi bimbingan dan pemantauan ibu bapa ketika di rumah.
Ustazah Nor Ana Ibrahim
Usia: 61 tahun
Pendidikan tinggi:
Ijazah Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Diploma Pendidikan UKM
Pekerjaan: Pesara guru
Jawatan sosial:
Ahli Jawatankuasa Lajnah Muslimat Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut dan sukarelawan pengajar al-Quran
“Pastikan anak-anak mengurangkan bermain gajet. Selepas siap kerja rumah, eloklah ibu bapa memastikan anak-anak membaca al-Quran,” katanya baru-baru ini.
Ustazah Nor Ana merupakan pemegang Ijazah Bahasa Arab dan Tamadun Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, sepanjang Ramadan ini, selain berpuasa, anak-anak wajar memenuhi waktu dengan membaca al-Quran.
Katanya, ajarkan kepada anak-anak khususnya yang masih peringkat sekolah rendah bahawa al- Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhamad SAW yang menjadi panduan umat Islam ke arah jalan kebenaran.
Beliau berkata, ibu bapa merupakan role model menjadi ikutan kepada anak supaya mencintai al-Quran.
“Walaupun sibuk dengan pekerjaan dan menguruskan keluarga, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk mengaji bersama mereka dan tunjukkan kepada mereka bahawa aktiviti itu antara kegiatan bermanfaat,” katanya.
Selanjutnya, dia menjelaskan Allah berfirman dalam surah Al Baqarah, ayat 22, yang bermaksud: “Inilah kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.”
Katanya lagi, Nabi Muhamad SAW berpesan: “Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu al-Quran dan sunnahku”.
Sekiranya berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah serta diiringi sikap dan disiplin kendiri berbuat baik maka kita akan mendapat jaminan perlindungan daripada Allah malahan hidup aman terhindar daripada segala bentuk kejahatan.
Ustazah Nor Ana berkata, al-Quran diturunkan dalam bulan ini dari Lauhil Mahfuz ke Baitul Izzah, iaitu langit yang pertama, kemudian diturunkan kepada Nabi Muhamad SAW secara berperingkat selama 23 tahun mengikut keperluan dan peristiwa yang berlaku kepada baginda dan para sahabatnya.
Katanya, turunnya ayat suci al-Quran sebagai petunjuk serta memberikan pemahaman kepada umat manusia tentang perkara yang hak dan yang batil, Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 185 bermaksud: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dan salah.”
Ustazah Nor Ana berkata, bagi anak-anak yang sudah boleh membaca al-Quran dengan lancar, sepanjang bulan Ramadan merupakan kesempatan terbaik untuk menyelesaikan bacaan 30 juzuk dan Allah SWT menjanjikan ganjaran kebaikan serta pahala.-UTUSAN










