PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menafikan dakwaan bahawa parti itu akan mengadakan satu kongres khas pada 12 Julai ini.
Memetik laporan portal berita tempatan, beliau berkata, laporan beberapa media yang mendakwa DAP akan mengadakan kongres khas atau mesyuarat agung luar biasa (EGM) adalah kurang tepat.
Jelasnya, program yang dijadualkan pada tarikh tersebut ialah persidangan kebangsaan yang diadakan selaras dengan peruntukan perlembagaan parti dan tidak melibatkan sebarang pemilihan.
Menurut Loke, perlembagaan DAP menetapkan satu kongres kebangsaan perlu diadakan setiap tiga tahun atau 36 bulan, yang turut melibatkan pemilihan parti dalam tempoh tersebut.
“Selain itu, perlembagaan parti juga menetapkan satu persidangan kebangsaan mesti diadakan setiap 18 bulan, kecuali jika kongres kebangsaan berlangsung dalam tempoh berkenaan.
“Apa yang kita akan adakan ialah persidangan kebangsaan yang memang telah dijadualkan untuk tahun ini. Ia bukan kongres khas,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan DAP telah mengadakan kongres kebangsaan beserta pemilihan parti pada Mac tahun lalu, parti itu perlu mengadakan persidangan kebangsaan sebelum September tahun ini.
Menurutnya, parti memutuskan untuk mempercepatkan persidangan tersebut kepada 12 Julai bagi membincangkan kedudukan DAP dalam kerajaan. – UTUSAN











