PETALING JAYA: Penelitian terhadap laporan cubaan menjatuhkan kerajaan perlu dilakukan dengan teliti sebelum sebarang tindakan diambil.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, siasatan berkenaan memerlukan masa dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa bagi memastikan setiap aspek diteliti secara menyeluruh.
“Perkara ini masih dalam tindakan pihak polis dan diharap semua pihak dapat bersabar. Sudah pasti siasatan akan dijalankan secara profesional serta berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh.
“Sekiranya ada perkembangan, kita akan maklum,” katanya hari ini.
Semalam, Mohd. Khalid memaklumkan, pihaknya menyiasat seorang individu berpengaruh tempatan bersama sebuah agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan.
Katanya, ia susulan laporan polis yang telah diterima pada Khamis lalu.
Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, sebarang perancangan yang berunsur menggugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara merupakan perkara yang menyentuh asas sistem demokrasi berparlimen.
Katanya, siasatan hendaklah dijalankan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan.
AGC berkata, pihaknya memandang serius dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan serta mengganggu kestabilan negara. – UTUSAN











