JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan menyusun semula struktur organisasinya susulan kepemimpinan ahli jawatankuasa beberapa bahagian negeri ini meletak jawatan beramai-ramai.
Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Samsudin Ismail berkata, langkah itu akan dilaksana segera bagi memastikan Bersatu Johor kekal beroperasi selain memperkukuh kedudukan parti di peringkat akar umbi.
Katanya, penstrukturan itu sekali gus akan menambah baik kelemahan pentadbiran yang wujud sebelum ini.
“Kepentingan parti mengatasi kepentingan mana-mana individu dan setiap kepemimpinan di mana-mana peringkat perlu mematuhi Perlembagaan Parti serta keputusan rasmi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Bersatu Johor akan terus bekerjasama rapat dengan kepemimpinan peringkat Pusat bagi menyusun semula struktur operasi di bahagian terkesan termasuk pelantikan pemangku dan penaja baharu sekiranya perlu demi memastikan pentadbiran parti tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Samsudin, pelaksanaan itu juga bertujuan menyediakan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Ahli dan penyokong Bersatu Johor diseru untuk terus memperkukuhkan saf perjuangan dengan menumpukan usaha memperkasa parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Bersatu Johor kekal komited mempertahan perpaduan parti, memperkukuh organisasi dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Pada 18 Februari lalu, didakwa 11 Bahagian Bersatu Johor akan terbubar selepas majoriti ahli jawatankuasanya termasuk kepimpinan tertinggi bahagian terlibat meletakkan jawatan secara besar-besaran.
Bekas Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab. Hamid dilapor berkata keputusan itu dibuat sebulat suara tanpa pengaruh mana-mana pihak susulan kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
11 bahagian terlibat adalah Labis, Mersing, Johor Bahru, Pulai, Pontian, Simpang Renggam, Pengerang, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Sembrong. – UTUSAN











