Had tempoh PM tidak jejaskan kuasa Agong

Had tempoh PM tidak jejaskan kuasa Agong

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti didakwa pembangkang.

Menurut Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz, jawatan Perdana Menteri merupakan jawatan berperlembagaan dan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan termasuk dari segi pelantikan serta pelaksanaan fungsi.

“Perkara 43(2)(a) memperuntukkan tatacara pelantikan Perdana Menteri oleh YDPA.

“Ini menunjukkan sejak awal lagi wujud syarat tertentu dalam pelantikan tersebut dan ia selari dengan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Muhammad Faisal berkata, kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa Perkara 159(1) menetapkan Perlembagaan boleh dipinda, sekali gus membuktikan ia merupakan dokumen hidup yang berkembang mengikut peredaran zaman.

“Perkara 159(5) pula menyenaraikan peruntukan khas yang tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, termasuk berkaitan agama Islam, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, bahasa kebangsaan serta kewarganegaraan.

“Pindaan kepada Perkara 43 tidak termasuk dalam kategori yang memerlukan persetujuan di bawah Perkara 159(5), justeru ia tidak boleh ditafsirkan sebagai menjejaskan kuasa YDPA atau Majlis Raja-Raja,” katanya.

Muhammad Faisal berkata, tujuan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan (D.R. 4/2026) adalah bagi mengehadkan kuasa eksekutif dan mengelakkan pemusatan kuasa Perdana Menteri dalam tempoh yang terlalu lama.

“Ia tidak bertujuan sama sekali untuk menjejaskan kuasa YDPA, sebaliknya merupakan lonjakan reformasi institusi yang tidak wajar dipolitikkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut merujuk Titah Diraja sempena Pembukaan Parlimen pada 19 Januari 2026 yang menyatakan sokongan YDPA terhadap cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Titah tersebut jelas menunjukkan tiada isu percanggahan antara pindaan ini dengan kuasa YDPA,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×