Parti Hijau rampas kerusi Parlimen Parti Buruh UK, Starmer makin tergugat

Parti Hijau rampas kerusi Parlimen Parti Buruh UK, Starmer makin tergugat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Parti pemerintah Britain, Parti Buruh mengalami kekalahan memalukan apabila kerusi tradisional di utara England dirampas parti Hijau berhaluan kiri dalam keputusan pilihan raya kecil pada Jumaat, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Perdana Menteri, Keir Starmer.

Dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Gorton dan Denton di Manchester, Parti Buruh juga tewas kepada parti Reform UK yang cenderung kanan dan anti-imigran, menandakan sistem dua parti tradisional Britain semakin terhakis.

Pilihan raya kecil ini berlaku selepas bekas ahli Parlimen Buruh, Andrew Gwynne meletak jawatan atas alasan kesihatan.

Seorang tukang paip, Hannah Spencer berusia 34 tahun, memenangi kerusi itu dengan hampir 15,000 undi.

Beliau menjadi ahli Parlimen kelima dari 650 kerusi bagi parti Hijau, yang menyokong cukai lebih tinggi untuk golongan kaya dan terbuka menyokong Palestin.

“Ribuan orang memberitahu saya, di depan pintu rumah dan di bilik undi, bahawa apa yang mereka muak adalah merasa dikecewakan dan dipandang rendah. Kami menewaskan parti-parti penderma jutawan,” kata Spencer dalam ucapan kemenangannya.

Calon Reform, Matt Goodwin, 44, yang juga seorang ahli sains politik memperoleh kira-kira 10,500 undi, manakala calon Buruh, Angeliki Stogia, hanya mendapat lebih 9,300 undi.

Parti Hijau sebelum ini tidak pernah memenangi pilihan raya kecil Parlimen dan menjalankan kempen akar umbi yang berkesan, termasuk menggerakkan 28 peratus penduduk Muslim di kawasan itu.

Menjelang hari mengundi, suasana tegang dengan ketua-ketua parti saling menghina dan aktivis menuduh pihak lain menyebar maklumat salah serta melanggar undang-undang kempen, menekankan betapa tinggi taruhan pilihan raya kali ini.

Keputusan bagi kerusi yang telah lama didominasi Buruh menunjukkan parti itu semakin ditekan dari kedua-dua hujung spektrum politik dan dijangka menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai berapa lama Starmer, 63, dapat terus memegang jawatan.

Keputusan ini juga mencerminkan rakyat Britain lebih cenderung melihat kepada parti baharu untuk mencari penyelesaian bagi isu-isu hangat yang telah lama wujud, seperti kos sara hidup tinggi dan kemasukan migran tidak teratur.

Buruh memenangi kawasan itu dengan hampir 51 peratus undi pada pilihan raya umum Julai 2024 yang menyingkirkan Konservatif selepas 14 tahun berkuasa berturut-turut dan membawa Starmer ke tampuk kuasa.

Namun, pemerintahannya sejak itu menghadapi beberapa pembalikan dasar dan kontroversi, termasuk pelantikan Peter Mandelson, rakan bekas pesalah seksual, Jeffrey Epstein, sebagai duta Britain ke Washington.

Tinjauan pendapat turut menunjukkan Starmer merupakan Perdana Menteri Britain yang paling tidak popular sejak kajian bermula dan awal bulan ini beliau menghadapi desakan dari dalam partinya sendiri untuk meletak jawatan.

Pengerusi Buruh, Anna Turley menyifatkan keputusan itu sebagai jelas mengecewakan tetapi mendakwa parti-parti baharu hanya menawarkan politik kemarahan dan jawapan mudah.

Starmer banyak menumpukan usaha menentang Reform, yang diketuai oleh Nigel Farage dan kini mendahului tinjauan kebangsaan, dengan mengetatkan dasar dan retorik imigresen Buruh.

Namun, pendekatan ini menjauhkan sebahagian pengundi sayap kiri partinya serta golongan muda yang kini berpaling kepada Parti Hijau, diketuai Zack Polanski yang sering dibandingkan dengan Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×