MELAKA: Seorang lelaki didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah mengeluarkan perkataan kesat terhadap seorang anggota polis dalam kejadian di Taman Melaka Raya, di sini dua minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleimen Nurul mengenakan denda itu terhadap Yeo Khen Toon, 50, selepas tertuduh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan terhadap seorang anggota polis lelaki bertujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah hotel di Jalan Melaka Raya 23, Taman Melaka Raya di sini pada kira-kira pukul 2.40 pagi 14 Februari lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak merakam gambar anggota polis sedang bertugas menahan seorang suspek berkaitan kes dadah sebelum diminta untuk menghentikan tindakan itu.
Bagaimanapun, tertuduh bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang anggota polis sebelum ditahan atas kesalahan itu. – UTUSAN










