Undang-undang kesalahan hina agama perlu disemak

Undang-undang kesalahan hina agama perlu disemak

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyemak semula kerangka perundangan negara bagi memastikan kesalahan yang menghina agama dapat ditangani dan tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memijak al-Quran merupakan perbuatan melampau dan tidak wajar sama sekali berlaku.

Kata beliau, tindakan pemuda itu memalukan dan langsung tidak mencerminkan adab, nilai kemanusian serta tahap keintelektualan seorang penuntut institusi pengajian tinggi.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu bertindak tegas dan menyemak semula kerangka perundangan sedia ada agar kesalahan penghinaan terhadap agama dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Penguatkuasaan yang konsisten serta hukuman yang setimpal amat penting bagi mencegah perbuatan serupa berulang, demi memelihara ketenteraman awam, keselamatan negara dan perpaduan kaum serta agama di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Media melaporkan, individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran di platform media sosialnya kelmarin, mengaku berbuat demikian dalam keadaan marah serta dipengaruhi perasaan dendam.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan penuntut terbabit ditahan pada awal pagi semalam.

Mengulas lanjut, Tuan Man berkata, perbuatan menghina agama it bersifat provokatif dan lebih memburukkan keadaan apabila ia dirakam dan disiarkan kepada umum.

Jelasnya, tindakan sedemikian tidak boleh diterima oleh mana-mana pihak, khususnya masyarakat Islam di negara ini, kerana ia mencetuskan kemarahan, kegelisahan awam serta berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.

“Al-Quran ialah wahyu Allah yang suci dan menjadi pedoman umat Islam. Menjaga kehormatannya adalah kewajipan.

“Lebih menyedihkan, kejadian ini berlaku dalam bulan Ramadan, bulan yang dimuliakan dan dikaitkan dengan turunnya al-Quran yang sepatutnya mengajak manusia kepada taubat dan kemuliaan akhlak, bukannya penghinaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam di negara ini untuk bertenang, bersatu dan mempertahankan kemuliaan Islam melalui saluran yang betul serta berhemah.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita berpegang teguh kepada Rukun Negara sebagai asas pembinaan sebuah negara yang aman, adil dan harmoni,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×