Penceramah agama didakwa cabul wanita

Penceramah agama didakwa cabul wanita

MUHAMMAD Salleh Hamzah diibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah selepas didakwa atas pertuduhan mencabul seorang wanita yang juga pengikut kuliahnya, tahun lalu. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang penceramah agama yang turut memegang jawatan sebagai pengerusi sebuah madrasah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga pengikut kuliahnya, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Salleh Hamzah, 70, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap peniaga sebuah restoran iaitu seorang wanita berusia 46 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah vila di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, dalam daerah Alor Gajah lebih kurang pukul 9 pagi pada 1 November tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 berserta syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Denial Khairul Hizam memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 14 April ini.

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah sekitar pukul 9 pagi bersama beberapa lelaki dipercayai pelajar madrasah dan pengikutnya yang berkaca mata hitam dan pelitup muka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×