GEORGE TOWN: Sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan menjual sofa serta perabot dan dua ahli lembaga pengarahnya didakwa atas 58 pertuduhan iaitu gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti sebanyak RM320,337 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Ng Eng Chen, 64 serta isterinya, Lim Paik Eng, 62, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 2019 sehingga 2024.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka yang merupakan ahli lembaga pengarah Syarikat Seng Cushion Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah dan meminta agar dibicarakan selepas kesemua 58 pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Eng Chen serta isterinya, Paik Eng sebagai Orang Kena Cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018, telah didapati gagal membayar cukai jualan bagi 29 tempoh bercukai di antara tahun 2019 hingga 2024 sebagaimana ditetapkan di bawah Seksyen 26(5) Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806).
Jumlah cukai tersebut adalah sebanyak RM228,812 manakala penalti yang gagal dijelaskan pula berjumlah RM91,525 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar dalam tempoh yang telah ditetapkan kepada Ketua Pengarah Kastam itu adalah sebanyak RM320,337.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya.
Sehubungan itu, jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 26(9) Akta yang sama dengan peruntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen serta lantikan peguam. – UTUSAN










