13 rakyat Malaysia masih berada di Iran, enggan pulang

13 rakyat Malaysia masih berada di Iran, enggan pulang

MOHAMAD HASAN
MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 13 rakyat Malaysia dilaporkan masih berada di Iran dan memilih untuk terus menetap di negara berkenaan walaupun kerajaan telah menawarkan bantuan untuk kembali.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kumpulan berkenaan termasuk pelajar telah beberapa kali dinasihatkan supaya pulang ke tanah air sebagai langkah keselamatan.

Menurutnya, semua individu terbabit turut diminta menandatangani surat indemniti sebagai pengesahan keputusan mereka untuk kekal berada di negara itu.

“Melalui surat tersebut, mereka mengakui tidak akan meletakkan sebarang tanggungjawab kepada kerajaan kerana usaha membawa pulang telah ditawarkan namun ditolak secara sukarela,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berhubung pelan pemindahan kecemasan rakyat Malaysia di Iran serta jumlah terkini rakyat negara ini yang masih berada di negara berkenaan.

Mohamad berkata, Wisma Putra turut mengeluarkan nasihat perjalanan sebanyak dua kali bagi menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Iran kecuali atas urusan penting.

“Ada juga yang masih berkunjung ke sana. Dalam situasi semasa, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan kita menasihatkan supaya tidak pergi.

“Seperti yang berlaku awal tahun lalu, kerajaan terpaksa melaksanakan pelan evakuasi melalui laluan darat sejauh kira-kira 1,200 kilometer dari Tehran ke Ashgabat di Turkmenistan,” katanya.

Mengulas pendirian Malaysia sekiranya konflik bersenjata tercetus di Iran, beliau menegaskan bahawa negara ini kekal berpegang kepada prinsip keamanan dan berkecuali dalam hubungan antarabangsa.

Katanya, Malaysia akan mengecam sebarang bentuk pencerobohan, peperangan atau keganasan tanpa mengira pihak yang terlibat.

“Sesiapa sahaja yang melakukan keganasan terhadap kemanusiaan atas apa juga alasan, Malaysia akan mengutuk dan mengecam tindakan tersebut. Itu merupakan pendirian konsisten negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×