Dugaan Ramadan, peniaga tergamam khemah jualan terbakar

Dugaan Ramadan, peniaga tergamam khemah jualan terbakar

HARIS Haikal Mohd. Hafiz tergamam melihat khemah jualan tudung milik keluarga hangus dalam kebakaran di Bazar Raya Stadium Darul Aman di Alor Setar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ramadan yang menjadi medan mencari rezeki bertukar pilu kepada enam peniaga apabila khemah jualan masing-masing di Bazar Raya Stadium Darul Aman, di sini musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian pukul 11.25 pagi itu, api marak dengan pantas sehingga menyebabkan khemah menjual tudung, kasut, pakaian dan songkok hangus terbakar.

Seorang peniaga, Haris Haikal Mohd. Hafiz, 20, tidak dapat menahan sebak apabila melihat khemah tudung milik keluarganya yang baru beberapa hari beroperasi musnah sepenuhnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dapat tahu pukul 11 pagi melalui siaran langsung di media sosial. Apabila ternampak sepanduk khemah, saya sudah tergamam dan menggigil.

“Saya terus menunggang motosikal ke lokasi dan lihat khemah sudah hangus. Ada beberapa tudung sempat diselamatkan orang awam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Haris Haikal berkata, ibunya, Siti Hajar Muhamad, 41, amat terkesan kerana mereka baru memulakan perniagaan dan jualan juga masih belum rancak.

“Mama sudah menghabiskan modal yang banyak untuk berniaga di bazar ini. Tapak khemah sahaja mencecah RM15,000, belum termasuk stok baharu, apa pun kami reda walaupun berat,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Che Zazli Che Ani, 45, berkata, khemahnya yang menjual pakaian lelaki dan songkok turut musnah kira-kira 80 peratus apabila khemah miliknya yang bersebelahan lima khemah terbakar menyebabkan kain pelikat, baju dan kupiah tidak dapat diselamatkan.

“Saya dan abang, Che Zanudin, 47, mengeluarkan modal hampir RM100,000 untuk berniaga di sini. Baru tidak sampai seminggu berniaga, jualan pun belum ada,” katanya.

Tambahnya, mereka berharap pihak penganjur dapat menyediakan khemah di lokasi baharu supaya perniagaan dapat diteruskan.

Sementara itu, Ketua Zon I JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd. Rahim berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.25 pagi sebelum lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikerahkan ke lokasi.

“Api berjaya dikawal pada pukul 11.37 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.36 tengah hari. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini