PETALING JAYA: Lima rakyat Malaysia terpilih sebagai kapten dan kru kapal bagi menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang bakal bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, kesemua yang dipilih mempunyai pengalaman luas dalam bidang pelayaran dan teknikal kapal.
Menurutnya, sebahagian dari pada mereka pernah berkhidmat sebagai juruteknik kapal serta memiliki kemahiran mengendalikan pelayaran jarak jauh.
“Lima individu berkenaan dijangka bergerak dalam masa terdekat bagi membuat persiapan terakhir sebelum pelayaran dilaksanakan.
“Namun, lokasi persediaan tersebut kita tidak dapat dedahkan kepada umum atas faktor keselamatan dan pertimbangan operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, seramai 800 individu telah disenarai pendek untuk menyertai GSF 2.0.
CGM menerima hampir 3,000 permohonan sebaik sahaja pendaftaran dibuka pada bulan lalu.
GSF 2.0 dijangka memerlukan 100 bot bagi melaksanakan misi kali ini yang mana kos pembelian bot adalah hasil sumbangan dan penajaan daripada pelbagai pihak.
Muhd. Haikal Luqman berkata, pemilihan peserta awam masih belum dimuktamadkan dan tapisan lanjut sedang dijalankan ketika ini.
Katanya, pihak penganjur turut menunggu keputusan daripada jawatankuasa pemandu GSF di peringkat antarabangsa sebelum pengumuman rasmi dibuat.
“Gerak kerja bagi menjayakan GSF 2.0 kini masih lagi dijalankan termasuk proses tapisan peserta.
“Proses pemilihan dilakukan secara teliti bagi memastikan hanya individu benar-benar layak dan bersedia menyertai pelayaran kali kedua tersebut.
“Pemilihan peserta awam masih belum dimuktamadkan dan tapisan lanjut sedang dijalankan ketika ini dan kami masih lagi menunggu keputusan daripada jawatankuasa GSF di peringkat antarabangsa sebelum pengumuman rasmi dibuat,” katanya. – UTUSAN











