PETALING JAYA: Seorang pengerusi serta bendahari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang pengarah syarikat ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu berkaitan program sumbangan makanan asas bernilai kira-kira RM5 juta.
Majistret Ezrene Zakariah mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap ketiga-tiga suspek sehingga 28 Februari 2026, susulan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an, ditahan antara pukul 3 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek di mana bendahari NGO tersebut juga merupakan pengarah syarikat terbabit disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 hingga 2023.
“Kesemua suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berkaitan program sumbangan makanan asas dengan niat untuk mengelirukan pihak NGO tempat pengerusi dan bendahari tersebut berkhidmat sehingga menyebabkan pertubuhan itu membuat pembayaran berjumlah kira-kira RM5 juta,” katanya tadi.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN











