Majikan China beri bonus RM101 juta kepada pekerja 

Majikan China beri bonus RM101 juta kepada pekerja 

PEKERJA syarikat Henan Kuangshan Crane Co., Ltd merebut wang tunai yang diletakkan di atas meja ketika majlis pemberian bonus akhir tahun di China.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebuah syarikat di China tular di media sosial selepas mengagihkan bonus akhir tahun sebanyak 180 juta yuan (RM101 juta) kepada pekerjanya, menimbulkan rasa cemburu dalam kalangan ramai warganet di negara itu.

Pada 13 Februari lalu, Henan Kuangshan Crane Co., Ltd. mengadakan majlis tahunan syarikat, di mana lebih 60 juta yuan (RM33.9 juta) dalam bentuk tunai yang diagihkan secara terus. Semasa acara itu, 800 meja jamuan disediakan untuk menampung kira-kira 7,000 orang.

Para pekerja dijemput ke pentas untuk menerima ganjaran mereka, manakala dalam aktiviti interaktif lain mereka merebut sendiri sejumlah besar wang tunai yang diletakkan di atas meja.

Menurut video yang tular dalam talian, pekerja dilihat mengira wang tunai yang disusun di atas meja panjang, manakala yang lain membawa ikatan wang di lengan mereka di atas pentas, ada yang hampir tidak mampu memegang semua wang itu.

Keuntungan syarikat bagi 2025 dilaporkan sebanyak 270 juta yuan (RM153 juta), bermakna hampir 70 peratus keuntungan dikongsi antara 7,000 pekerjanya.

Syarikat ini ditubuhkan pada September 2002 dan merupakan pengeluar serta penyedia perkhidmatan kren dan produk pengendalian bahan, dengan operasi perniagaan merentasi lebih 130 negara. 

Pada 2024, syarikat merekodkan keuntungan bersih 260 juta yuan (RM147 juta), di mana 170 juta yuan (RM96 juta) diagihkan kepada pekerja. Pada Mac tahun lalu, sempena Hari Wanita Antarabangsa, syarikat mengagihkan hampir 1.6 juta yuan (RM906,003) kepada 2,000 pekerja wanita.

Amalan kerap memberikan ganjaran tunai dan manfaat kepada pekerja ini menjadikan Pengarahnya, Cui Peijun digelar warganet sebagai ‘majikan paling pemurah’.

“Bukan kerana saya suka beri duit, tetapi kerana generasi muda terbeban dengan pinjaman kereta dan rumah, jadi kami cuma berikan apa yang dapat membantu mereka,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×