PETALING JAYA: Sunway Property menetapkan sasaran jualan lebih tinggi sebanyak RM4.2 bilion tahun ini, susulan pencapaian jualan tertinggi RM3.8 bilion yang direkodkan pada 2025.
Sasaran itu didorong pelan pelancaran projek bernilai RM4.8 bilion di Malaysia serta beberapa pasaran serantau utama, sekali gus mencerminkan keyakinan syarikat terhadap momentum pasaran hartanah yang kekal berdaya tahan.
Prestasi 2025 menyaksikan Sunway Property melepasi sasaran awal RM3.6 bilion apabila merekodkan jualan RM3.8 bilion, meningkat berbanding RM3.0 bilion pada 2024 dan RM2.4 bilion pada 2023.
Momentum pertumbuhan berterusan itu didorong oleh keyakinan pembeli, pelaksanaan projek secara berdisiplin serta permintaan kukuh terhadap pembangunan berperancangan induk yang strategik dan menawarkan nilai jangka panjang.
Pengarah Urusannya, Chung Soo Kiong berkata, sasaran 2026 berlandaskan kekuatan asas perniagaan serta perubahan tingkah laku pembeli yang kini lebih mementingkan nilai dan kebolehdiaman.
“Pembeli rumah hari ini lebih teliti dan berorientasikan nilai. Mereka mengutamakan kepastian, kebolehdiaman dan nilai jangka panjang, bukan sekadar memiliki sebuah unit.
“Prestasi 2025 mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan kami membangunkan dan menyokong komuniti dalam jangka panjang. Fokus konsisten inilah yang menjadi asas kepada sasaran jualan RM4.2 bilion pada 2026,” katanya dalam kenyataan.
Kedudukan kewangan syarikat kekal kukuh dengan hasil belum dibilkan berjumlah RM9.5 bilion setakat 31 Disember 2025, menyediakan keterlihatan pendapatan yang mampan bagi tempoh akan datang.
Strategi pertumbuhan Sunway Property turut diselaraskan dengan aspirasi nasional termasuk pelaksanaan Pelan Malaysia Ke-13 serta pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Menurut laporan Knight Frank’s Malaysia Real Estate Highlights 2H 2025, segmen kediaman menyumbang 61.4 peratus daripada keseluruhan transaksi hartanah negara, dipacu pembeli yang menitikberatkan kualiti, kesalinghubungan dan nilai jangka panjang.
Seiring perubahan tersebut, penglibatan digital syarikat menunjukkan lebih 93 peratus trafik laman web korporat pada 2025 datang daripada pasaran utama tempatan dan antarabangsa termasuk Singapura dan China.
Dari segi komposisi pembeli, peratusan pembeli antarabangsa meningkat kepada 15 peratus pada 2025 berbanding sekitar enam peratus pada 2023, dengan Singapura kekal sebagai pasaran asing terbesar.
Tahun ini, fokus pelancaran akan tertumpu kepada projek utama di Johor dan Lembah Klang, sejajar permintaan terhadap pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan komuniti bersepadu.
Di Sunway City Iskandar Puteri, syarikat akan memperkenalkan fasa kedua Sunway Sakura yang menampilkan rumah berkembar separuh, selain pembangunan apartmen servis dan rumah berkembar bersambung bagi memperkukuh ekosistem perbandaran tersebut.
Di Lembah Klang pula, pelancaran fasa kedua Sunway Serene dan Menara C Sunway Velocity 3 telah dirancang bagi memenuhi permintaan pembeli, manakala Jeffrey Cheah Performing Arts Centre di Sunway Square, Sunway City Kuala Lumpur dijadualkan siap bagi memperkaya komponen gaya hidup pembangunan berkenaan. – UTUSAN










