Siakap Malaysia masih berdepan syarat ketat import Thailand

Siakap Malaysia masih berdepan syarat ketat import Thailand

MOHAMAD Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belum ada kata putus dicapai untuk membolehkan eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand kembali lancar, ekoran penemuan pelanggaran residu dadah veterinar pada ikan itu oleh pihak berkuasa Thailand sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bermula 1 Mac 2024, Thailand mengetatkan syarat pengimportan ikan siakap sejuk beku Malaysia, sebelum memperkenalkan keperluan lebih ketat pada 1 April 2025 melibatkan Sijil Analisis Makmal (COA), pensampelan semula di pintu masuk serta pematuhan Sijil Tangkapan (CC) bagi sumber laut.

Beliau berkata, rundingan dengan pihak berkuasa Thailand masih berjalan bagi melancarkan semula eksport yang terjejas susulan pengetatan syarat sanitari dan fitosanitari (SPS).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun eksport masih dibenarkan, prosedur tambahan ini menyebabkan kelewatan dan menjejaskan kelancaran pengeksportan ikan Malaysia ke Thailand,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berkenaan isu ikan dari Thailand boleh dieksport ke Malaysia tetapi ikan dari Malaysia tidak dapat dieksport ke Thailand.

Mohamad berkata, kementerian telah mengemukakan Laporan Siasatan Pelanggaran dan Mekanisme Pengeksportan Siakap Malaysia kepada National Bureau of Agricultural Commodity and Food Standards (ACFS), Thailand.

Katanya, pertemuan rasmi juga telah diadakan bagi pertimbangan semula mekanisme penyenaraian pengeksport, selain menyatakan kesediaan Malaysia memenuhi sebarang keperluan audit dan soal selidik yang ditetapkan Thailand.

Mohamad berkata, pematuhan di peringkat ladang turut diperkukuh menerusi pelaksanaan Program Kesedaran Penggunaan Antibiotik dan pensijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP).

“Sehingga kini, 46 daripada 57 ladang dan sangkar yang terlibat dalam eksport ke Thailand telah memperoleh pensijilan myGAP. Usaha ini penting bagi memulihkan keyakinan pasaran luar terhadap kualiti dan keselamatan ikan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini