SEMPORNA: Tiga individu termasuk dua rakyat China ditahan susulan serbuan pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah ke atas sebuah resort di sini yang dipercayai menyajikan menu berasaskan haiwan dilindungi semalam.
Pengarah JHL Sabah, Mohd. Soffian Abu Bakar berkata, serbuan adalah hasil risikan dan kerjasama Cawangan Risikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak.
Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, pihaknya menemukan seekor tenggiling hidup yang dikategorikan sebagai haiwan hidupan liar dilindungi sepenuhnya dipercayai dijadikan menu hidangan kepada pelanggan.
“Tenggiling disenaraikan dibawah Jadual I Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan tidak boleh dimiliki atau dijadikan hidangan dalam apa jua keadaan.
“Tidak ada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis termasuk premis pelancongan untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies ini sebagai makanan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Soffian berkata, pihaknya turut merampas beberapa hidangan yang sudah dimasak dipercayai membabitkan spesies haiwan dilindungi untuk siasatan lanjut.
“Semua barangan dirampas dan tiga individu dibawa ke Balai Polis Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN











