PUTRAJAYA: Agensi-agensi yang terlibat dalam menangani isu pengimportan haram e-waste perlu kerap menjalankan operasi khususnya selepas menerima maklumat mengenainya.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setiap agensi terlibat juga perlu bersedia kerana Perdana Menteri turut akan bersama turun padang dalam operasi mengejut.
“Agensi-agensi terlibat perlu bersiap sedia kerana pemeriksaan mengejut akan dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan turun padang dalam masa terdekat di lokasi-lokasi kritikal bagi menentukan keberkesanan tindakan penguatkuasaan sedia ada, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 3/2026 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.
Katanya, kesemua agensi terlibat harus menetapkan pegawai bertanggungjawab setiap agensi semasa tindakan koordinasi penguatkuasaan dilaksanakan dan kesemua pegawai yang terbabit haruslah bertugas di tempat kejadian.
Selain itu jelasnya, pihak Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu menggabungkan segala fasiliti dan peralatan yang sedia ada untuk memaksimunkan impak penggunaan kemudahan teknologi yang ada.
Sementara itu, Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal memberitahu, terdapat sejumlah 818 kontena e-waste yang terdampar di Pelabuhan Klang sejak 2024 dan pendekatan baru harus digunakan bagi menangani isu ini.
Katanya, kesemua dasar dan perundangan berkaitan penyelarasan dan pengurusan sisa e-waste harus diseragamkan dan diperkukuhkan.
Pada 8 Disember tahun lalu, SPRM telah diberikan mandat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bagi mengetuai Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan Pengimportan e-waste dalam negara. – UTUSAN










