Pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras perketat spesifikasi gred beras

Pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras perketat spesifikasi gred beras

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu peraturan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) akan digubal bagi menguatkuasakan spesifikasi penggredan beras putih yang baharu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengenalan peraturan baharu yang melibatkan pindaan kepada Akta 522 itu akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang selepas sesi libat urus diadakan termasuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Melalui peraturan baharu itu, spesifikasi gred serta harga beras akan ditetapkan bagi memastikan mutu dan harga beras sentiasa terkawal, selain melindungi kepentingan semua pihak,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, matlamat utama penetapan harga kawalan bagi gred beras terpilih adalah untuk menjamin kestabilan bekalan beras di pasaran serta melindungi pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Katanya, peraturan itu juga akan menetapkan kewajipan kepada pengeluar beras untuk menyatakan maklumat produk secara jelas, termasuk harga dan kandungan beras hancur bagi setiap produk.

“Setiap produk beras yang dijual akan memastikan pengguna memperoleh maklumat tepat mengenai produk yang dibeli. Pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah peraturan baharu itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta 522.

“Selain itu, penggubalan peraturan baharu ini akan memperkasa peranan institusi MARDI dan agensi penyelidikan lain dalam menyediakan bukti saintifik yang kukuh bagi membantu pihak berkuasa dalam proses pendakwaan kes berkaitan beras di mahkamah,” katanya.

Mohamad berkata, keputusan menyusun semula gred dan harga beras dibuat berasaskan prinsip utama keterjaminan makanan negara iaitu memastikan bekalan mencukupi, harga stabil serta semua pihak dalam rantaian padi dan beras daripada pesawah hingga pengguna terus dilindungi.

Katanya, pada masa ini kadar sara diri beras adalah 52.9 peratus dan pengeluaran beras tempatan masih tidak dapat menampung keperluan domestik, sekali gus menyebabkan Malaysia bergantung kepada bekalan beras import.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kerajaan pada bila-bila masa boleh melaksanakan sebarang bentuk intervensi yang bersesuaian berdasarkan Akta 522 sekiranya berlaku gangguan atau ketidakstabilan dalam rantaian penghasilan dan pembekalan padi dan beras tempatan termasuk beras import bagi kegunaan domestik di pasaran Malaysia.

“Kepelbagaian gred beras perlu dikekalkan buat masa ini bagi memastikan pilihan, ketelusan serta perlindungan terhadap kepentingan pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini