Daie Madani gelombang baharu dakwah anak muda 

Daie Madani gelombang baharu dakwah anak muda 

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelancaran Daie Madani mampu menjadi platform jaringan nasional asatizah muda dalam memperkukuhkan gerakan dakwah. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Daie Madani adalah gerakan nasional baharu bagi memperkasa peranan asatizah muda dalam menyampaikan mesej Islam secara kolektif, berautoriti dan inklusif.

“Program ini akan menjadi penggerak utama kepada gelombang kebangkitan asatizah muda di Malaysia. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila kita ada asatizah muda, kita perlukan lebih ramai penggerak. Daie Madani inilah penggerak kita. 

“Mereka akan dilatih dengan kemahiran yang bersesuaian dan kita beri sokongan kepada mereka dengan turun ke lapangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) 2026 di ibu negara di sini, hari ini. 

Zulkifli berkata, Daie Madani bukan sekadar platform jaringan sebaliknya satu gerakan tersusun yang akan melatih asatizah muda dari segi kepimpinan, komunikasi, pengurusan program dan pendekatan dakwah kontemporari.

“Gerakan ini akan dilaksanakan secara agresif tahun ini termasuk perancangan khas sepanjang Ramadan dengan kerjasama institusi masjid serta jawatankuasa anak muda di seluruh negara,” katanya. 

Mengulas mengenai HAMKA, beliau berkata, program tersebut menerima maklum balas yang positif dan akan diperluaskan ke peringkat zon serta negeri sebagai satu gerakan nasional yang lebih tersusun.

“Kita himpunkan lebih 1,000 asatizah muda untuk berwacana dan memikirkan masa depan negara. 

“Ini permulaan kepada gerakan lebih besar yang akan digerakkan di seluruh negara,” katanya. 

Tambahnya, program itu bertujuan mengajak asatizah muda bersama-sama memperkukuh usaha pencerahan dan pencerdasan masyarakat melalui pembentukan pemikiran Islam yang sebenar, berkemajuan, wasati dan berteraskan al-Quran.

“Pendekatan yang dinamik dan inklusif amat penting dalam mendepani cabaran semasa termasuk pengaruh media sosial, kecenderungan pemikiran melampau serta perubahan landskap pemikiran generasi baharu.

“Sebelum ini kita adakan sesi meja bulat dalam skala kecil, tetapi kali ini kita cetuskan satu gelombang baharu supaya asatizah muda tampil lebih proaktif,” kata Zulkifli.

Dalam pada itu, katanya, usaha tersebut merupakan kesinambungan kepada pelbagai program pembangunan belia dan pengimarahan institusi masjid yang dilaksanakan sebelum ini.

“Kita perlukan lebih ramai tokoh muda berilmu dan mempunyai latar belakang agama yang baik untuk menyumbang secara konstruktif kepada masyarakat. 

“Dengan kehadiran anak-anak muda yang cerdas dan bijak ini, kita yakin masa depan Malaysia cerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini