Apa pilihan Hamzah?

Apa pilihan Hamzah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPATUTNYA masa ini Datuk Seri Hamzah Zainudin berpeluang untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), jika Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya, Muhyiddin bukan sahaja tidak letak jawatan. Hamzah yang dipecat. Beliau menjadi ketua pembangkang pertama yang dipecat daripada partinya sendiri.

Persoalannya, ke mana hala tuju Hamzah selepas ini? Hamzah mempunyai beberapa pilihan, sama ada kembali ke parti lamanya, menyertai parti lain atau menubuhkan parti baharu. 

 

UMNO

Ada pihak yang mengatakan Hamzah perlu pulang ke pangkuan parti lamanya, UMNO. Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahlinya yang ingin kembali menyertai parti itu termasuk bekas pemimpinnya.

Realitinya, UMNO belum pernah ‘menaikkan’ semula mana-mana bekas pemimpinnya sebelum ini dan kembali menjadi ‘orang kuat’ parti. Contohnya, Khairy Jamaluddin. Beliau dipecat dua bulan selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU15.

Sejak dipecat, beliau melancarkan audio siar Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, menjemput tetamu-tetamu yang terdiri daripada ahli-ahli politik sambil meluahkan pandangannya di setiap episod yang disiarkan. Beliau lebih kepada seorang pempengaruh berbanding ahli politik ketika ini.

Pada mulanya, ada yang mengatakan Khairy akan menyertai PKR. Namun sejak tahun lalu, namanya disebut-sebut untuk kembali sertai UMNO malah beliau sendiri menguatkan spekulasi tersebut apabila hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Namun, sehingga ke hari ini perkara itu masih belum berlaku. Ahmad Zahid sendiri menyatakan bahawa beliau masih belum menerima permohonan rasmi dari Khairy, walaupun pilihan raya umum semakin hampir.

Jika Khairy sendiri pun sukar untuk menyertai semula UMNO, inikan pula Hamzah. Bezanya, Hamzah keluar parti sebaik sahaja UMNO kalah dalam PRU14 dan menyertai Bersatu yang pada masa itu sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH). Apa yang dilakukan Hamzah itu mungkin masih sukar untuk diterima oleh ahli-ahli dan pemimpin UMNO.

Malah, situasi Hamzah kini amat berbeza. Beliau bukan sahaja ketua pembangkang, beliau juga sudah bertaraf timbalan presiden parti dan hampir menjadi presiden parti. Jika beliau mahu sertai semula UMNO, beliau pastinya mahu memegang jawatan yang setaraf timbalan presiden atau presiden. UMNO bukanlah pilihan yang menguntungkan buat Hamzah.

 

Berjasa

Hamzah dikaitkan akan mengambil alih parti Parti Berjasa Malaysia (Berjasa)  yang sebelum ini bertanding dalam PRU15 di bawah gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Berjasa tampil menafikan khabar angin tersebut namun perkara itu tidak mustahil boleh berlaku. Datuk Seri Mohamad Sabu yang keluar daripada Pas mengambil alih Parti Pekerja Malaysia dan dijenamakan semula kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Berjasa sendiri pernah bekerjasama dengan Pas di bawah Gagasan Sejahtera dalam PRU14, jadi tidak mustahil kedua-dua parti ini kembali bersama jika Berjasa diterajui oleh Hamzah dalam PRU16.

Masalahnya, kerjasama itu mungkin tidak akan disenangi oleh Muhyiddin dan Bersatu. Pas tidak boleh bekerjasama begitu sahaja dengan Berjasa. Kerjasama perlu diputuskan dalam mesyuarat peringkat PN dan sudah tentu Pas perlu mendapat restu daripada Bersatu.

Pas mungkin terpaksa membuat pilihan sama ada Muhyiddin atau Hamzah. Bersatu atau Berjasa. Ia bukan situasi yang menguntungkan buat Hamzah.

 

HAMZAH Zainudin mempunyai pilihan sama ada mengambil alih parti atau menubuhkan parti baharu sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

 

 

Parti lain dalam PN

Hamzah juga mempunyai pilihan untuk terus berada dalam PN dan menubuhkan parti baharu dalam gabungan itu. Situasi yang serupa pernah dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) beberapa bulan sebelum PRU15. Beliau keluar daripada Bersatu sebulan selepas keputusan PRU15 namun kekal dalam GRS sebelum mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan).

Hamzah boleh melakukan perkara yang sama dengan mengambil alih mana-mana parti atau menubuhkan parti baharu dan menyertai PN.

Beliau sendiri menunjukkan minat untuk terus berada dalam PN apabila mengucapkan tahniah dan memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilantik sebagai Pengerusi PN baharu.

Namun, beliau akan berdepan masalah yang sama jika beliau mengambil alih Berjasa iaitu penerimaan Bersatu terhadap Hamzah yang mewakili parti lain dalam PN. 

Ini menjadi satu-satunya halangan terbesar buat Hamzah untuk terus kekal relevan dalam PN ketika ini.

 

Kuasa baharu

 

Satu lagi pilihan Hamzah adalah menubuhkan parti baharu di bawah gabungan baharu, seperti yang dilakukan PN dan GTA dalam PRU15 sebelum ini. Namun, kedua-dua gabungan ini menunjukkan hasil yang berbeza.

PN sebagai gabungan politik baharu diterajui Muhyiddin yang pertama kali bertanding dalam PRU15 membuat kejutan besar apabila memenangi 73 kerusi, menjadi blok kedua terbesar dalam Parlimen selepas PH.  

Namun, GTA yang juga gabungan politik baharu dipimpin oleh Mahathir gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU15, sekali gus menutup peluang untuk menjadi kuasa baharu. Sehingga ke hari ini, Mahathir tidak menubuhkan sebarang parti mahupun gabungan baharu.

Ini yang Hamzah perlu fikir masak-masak. Beliau tidak boleh mengambil alih parti atau menubuhkan parti baharu begitu sahaja. Beliau perlu menyertai sebuah parti dan gabungan politik yang mampu membentuk kerajaan, yang mana beliau boleh memainkan peranan penting.

Beliau juga perlu memilih parti dan gabungan yang menguntungkan beliau. Pilihan beliau yang akan menentukan hala tuju karier politiknya pada PRU16. –UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×