KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Pembinaan 2026–2030 (CAP30) diwujudkan bagi memastikan hala tuju dan objektif Dasar Pembinaan Negara 2021–2030 (NCP 2030) dilaksanakan secara terancang dan berfokus.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, CAP30 berperanan memperkukuh sektor pembinaan yang dipacu pihak industri dan rakan strategik dengan penyelarasan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Katanya, pelan tindakan lima tahun itu digerak berdasarkan enam matlamat utama yang disasarkan menjelang 2030.
“Matlamat ini ditetapkan sebagai tunjang kepada kejayaan CAP30 serta sebagai pemangkin utama kepada pencapaian aspirasi NCP 2030.
“Antara matlamat utama yang digariskan termasuk memastikan 100 peratus pematuhan CDM, 80 peratus pencapaian skor QLASSIC dan SHASSIC serta 50 peratus projek bangunan bernilai melebihi RM40 juta memperoleh penarafan hijau.
“Sasaran lain adalah untuk menempatkan industri pembinaan negara dalam 20 teratas IMD bagi daya saing global, selain memastikan pemain industri Malaysia diiktiraf sekurang-kurangnya di tiga pasaran antarabangsa serta 100 peratus personel binaan diakreditasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran CAP30 di CIDB 520 The MET Corporate Towers, hari ini.
Nanta Linggi berkata, CAP30 turut memperkenalkan inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada aspek keselamatan tenaga dan kemampanan industri pembinaan.
Katanya, langkah tersebut selari dengan keperluan negara memperkukuh sumber tenaga jangka panjang serta menyokong perubahan struktur ekonomi.
“Antaranya ialah penerokaan sumber tenaga baharu dalam sektor pembinaan, termasuk penggunaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada usaha negara memperkukuh keselamatan tenaga dan menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Di samping itu, CAP30 turut menyokong usaha kerajaan yang menyasarkan pengurangan kebergantungan kepada tenaga kerja asing melalui peningkatan automasi, penggunaan teknologi pembinaan moden serta pembangunan kemahiran tempatan,” katanya. – UTUSAN











