PETALING JAYA: Maybank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat pengecasan kenderaan elektriknya, TNB Electron, melancarkan projek rintis strategik kemudahan pengecasan EV di Akademi Maybank, Bangi.
Inisiatif tersebut menandakan kerjasama sulung antara TNB Electron dengan institusi kewangan dalam usaha menyokong agenda kelestarian Malaysia serta mempercepatkan peralihan tenaga negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kerjasama itu merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh peranan TNB Electron sebagai pemungkin utama ekosistem EV.
“Dengan lebih 260 mata pengecasan EV yang telah dipasang di seluruh negara, kami sedang memajukan kesediaan grid serta meningkatkan kebolehpercayaan sistem melalui kerjasama dengan organisasi yang berpandangan jauh seperti Maybank,” katanya dalam kenyataan.
Menurut data terbaharu, industri EV Malaysia kini sedang melonjak dengan pendaftaran meningkat 106 peratus berbanding tahun lalu, diterajui oleh kawasan tumpuan seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Sehingga kini, terdapat lebih 5,700 pusat pengecasan awam di seluruh negara yang memudahkan pemandu melakukan perjalanan harian mahupun pulang ke kampung pada musim perayaan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, perkongsian itu memperkukuh tonggak Ekonomi Baharu ROAR30 Maybank yang memfokuskan kepada penyelesaian bandar pintar serta komitmen kelestarian kumpulan.
“Dengan menjadikan pengecasan EV lebih mudah dicapai, kami menyokong pelanggan untuk beralih kepada mobiliti bersih. Ekosistem EV Malaysia masih di peringkat awal namun sangat menjanjikan.
“Pada 2025, Maybank telah menyalurkan lebih RM1 bilion bagi pembiayaan EV dan kereta hibrid yang layak,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah perkongsian ini, TNB Electron akan memasang, mengendali dan menyenggara kemudahan pengecasan tersebut dengan memanfaatkan kepakaran infrastruktur TNB serta rangkaian luas Maybank.
Hasil daripada projek rintis ini, kedua-dua pihak akan terus meneroka peluang untuk meluaskan kemudahan pengecasan EV di cawangan Maybank terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia bagi menyokong peningkatan penggunaan kenderaan elektrik secara nasional. – UTUSAN










