KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,133 kes kecurian elektrik melibatkan pengguna meter pintar dikesan di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2025 dengan anggaran kerugian kira-kira RM41 juta.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat 2025 sebanyak 5.56 juta meter pintar telah dipasang bagi membantu mengekang aktiviti sambungan haram, termasuk yang dikaitkan dengan perlombongan mata wang kripto.
Katanya, selain penggunaan meter pintar dan sistem Distribution Transformer Meter (DTM), pihak berkuasa turut memanfaatkan teknologi dron serta peranti pengesan haba bagi mengenal pasti premis mencurigakan.
“Dalam usaha mengekang aktiviti haram ini, beberapa langkah strategik seperti pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan, mengadakan sesi libat urus rasmi bersama pihak berkepentingan dan melaksanakan pemantauan teknikal.
“Petra dan Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa komited dalam membanteras aktiviti kecurian elektrik terutama dalam perlombongan bitcoin atau mata wang kripto,” katanya.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai jumlah kes kecurian elektrik yang dikesan menerusi sistem DTM dan meter pintar, termasuk anggaran kerugian kewangan yang ditanggung TNB di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN











