Kim Jong-un kekal terajui Korea Utara - Utusan Malaysia

Kim Jong-un kekal terajui Korea Utara

KIM Jong-un menerima tepukan selepas dipilih semula sebagai Setiausaha Agung WPK ketika menghadiri mesyuarat Kongres kesembilan di Pyongyang,. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Parti pemerintah Korea Utara memilih semula Kim Jong-un sebagai setiausaha agung tertingginya sempena satu kongres nasional yang jarang diadakan di negara itu.

Ribuan elit parti berhimpun di Pyongyang bagi menghadiri sidang kemuncak lima tahun sekali Parti Pekerja Korea (WPK) yang menentukan hala tuju negara dalam pelbagai aspek termasuk diplomasi dan perancangan peperangan. 

Menurut agensi  berita Korean Central News Agency (KCNA), kepimpinan tertinggi tentera mengangkat ikrar taat setia kepada Jong-un ketika para perwakilan memilih semula beliau sebagai setiausaha agung semalam.

Kongres itu turut menekankan usaha beliau dalam mengekang musuh yang tidak dinamakan dengan meningkatkan secara radikal keupayaan kuasa nuklear negara tersebut.

Jong-un dijangka mengumumkan fasa terbaharu program senjata tersebut dalam tempoh terdekat.

“Beliau memimpin secara aktif usaha menjadikan Tentera Rakyat Korea, teras pertahanan negara dan tonggak pemeliharaan keamanan negara itu sebagai angkatan elit serta berkuasa. 

“Beliau telah membina angkatan bersenjata revolusioner yang mampu menghadapi sebarang ancaman pencerobohan atas inisiatif sendiri dan bersedia sepenuhnya untuk apa jua bentuk peperangan,” jelas parti itu dalam satu kenyataan.

Presiden China, Xi Jinping turut memuji pembukaan lembaran baharu dalam hubungan dengan Korea Utara susulan pemilihan semula Jong-un.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini meningkatkan usaha diplomatik terhadap Jong-un ketika lawatan ke Asia tahun lalu dengan menyatakan beliau 100 peratus terbuka untuk mengadakan pertemuan. 

Namun setakat ini, Jong-un dilihat masih menjauhkan diri daripada usaha menyambung semula dialog diplomatik peringkat tertinggi dengan AS.

Di bawah kepimpinan Jong-un, senjata nuklear Korea Utara berubah daripada sekadar isu kebimbangan global kepada ancaman yang dianggap nyata lebih lapan tahun selepas ujian nuklear negara itu mencetuskan gegaran kuat di pergunungan Hamyong.

Beberapa hari sebelum Kongres bermula, Jong-un memperkenalkan bateri pelancar roket besar berkeupayaan nuklear. Gambar yang disiarkan media rasmi menunjukkan puluhan kenderaan pelancar disusun rapi di dataran Rumah Kebudayaan Pyongyang.

Penganalisis kini turut memberi perhatian khusus kepada keberadaan anak perempuan Jong-un, Ju Ae yang menurut agensi perisikan kebangsaan Korea Selatan semakin dilihat sebagai pewaris kepimpinannya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×