MOSCOW: Seorang lelaki meletupkan bahan letupan di sebelah sebuah kereta peronda polis di pusat Moscow awal pagi semalam, mengorbankan seorang anggota dan mencederakan dua yang lain, menurut Kementerian Dalam Negeri Russia.
Letupan itu berlaku kira-kira pukul 12:05 pagi waktu tempatan di dataran stesen kereta api Savyolovsky, menurut kenyataan kementerian itu di aplikasi Telegram.
Penyerang menghampiri anggota polis trafik yang sedang duduk di dalam kenderaan peronda mereka sebelum bahan letupan itu meletup, menurut kenyataan tersebut. Penyerang itu maut di tempat kejadian.
Terdahulu, agensi berita TASS melaporkan Jabatan Jawatankuasa Penyiasatan Russia di Moscow mengesahkan bahawa seorang anggota polis trafik terbunuh dalam letupan di hadapan stesen kereta api Savyolovsky di ibu negara Russia itu, manakala dua lagi cedera.
“Akibat tindakan penyerang, seorang anggota polis trafik mengalami kecederaan yang tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Dua lagi anggota polis telah dibawa ke hospital di mana mereka sedang menerima rawatan perubatan,” menurut laporan Jawatankuasa Penyiasatan.
Penyerang itu maut di tempat kejadian, menurut kementerian itu selepas analisis rakaman video daripada kamera pengawasan.
Jawatankuasa Penyiasatan telah membuka kes jenayah. Para penyiasat masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian. – AGENSI










