TAWAU: Seorang pembantu operasi di Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau didakwa di Mahkamah Sesyen di sin hari ini atas 39 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM30,000 membabitkan kerja penyelenggaraan jalan antara tahun 2020 hingga 2022.
Abdul Rahim Salleh, 59, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan iaitu menerima suapan secara berperingkat daripada dua wakil sebuah syarikat sebagai dorongan supaya tidak memantau dan menyelia kerja-kerja berkaitan dengan kontrak.
Semua 39 pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan.
Hakim, Elsie Primus, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan deposit RM15,000 serta dua orang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei 2026 sebagai tarikh sebutan bagi pengurusan kes.-UTUSAN.










