Aktiviti simpan LPG tanpa kebenaran tumpas

Aktiviti simpan LPG tanpa kebenaran tumpas

PEGAWAI penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu menumpaskan kegiatan penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) tanpa kebenaran dalam satu serbuan di sebuah premis tanpa nama berhampiran Bukit Tunggal, Kuala Nerus, Terengganu. - IHSAN KPDN TERENGGANU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu menumpaskan kegiatan penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) tanpa kebenaran dalam satu serbuan di sebuah premis tanpa nama berhampiran Bukit Tunggal di sini, hari ini.

Serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyimpanan barang kawalan tanpa permit sah.

Pengarahnya, Mohd. Mufsi Lat berkata, premis berkenaan didapati berpagar dan berkunci serta ditutupi jaring hitam yang dipercayai bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa selain tidak berpenghuni.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, dengan bantuan orang awam, pemilik premis dapat dihubungi sebelum membuka pintu bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan. Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 48 tong LPG pelbagai jenama di dalam premis berkenaan membabitkan 38 tong berisi dan 10 tong kosong.

“Daripada jumlah itu, 37 tong berkapasiti 14 kilogram (kg) dan satu tong berkapasiti 12kg didapati berisi, manakala 10 tong kosong pula berkapasiti 14kg. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4,847.

“Siasatan awal mendapati pemilik premis merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an yang tidak memiliki sebarang lesen, permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Mufsi berkata, lelaki itu dipercayai memperoleh bekalan gas daripada sebuah syarikat pemborong sebelum menjualnya semula kepada penduduk sekitar dan  kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Siasatan turut diperluas  sehingga ke peringkat pemborong yang disyaki membekalkan barang kawalan kepada individu tanpa kebenaran. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini