Ribut salji paksa New York kuatkuasa larangan perjalanan seluruh bandar

Ribut salji paksa New York kuatkuasa larangan perjalanan seluruh bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Bandar New York mengarahkan penutupan jalan raya dan sekolah pada Isnin, ketika penduduk bersiap siaga menghadapi ribut salji terbesar yang melanda timur laut Amerika Syarikat (AS).

Jutaan rakyat AS dari Washington hingga negeri utara Maine kemungkinan berdepan salji setinggi 60 sentimeter (sm) di beberapa kawasan.

Gabenor New Jersey, Mikie Sherrill mengisytiharkan kecemasan bermula tengah hari Ahad, membolehkan pengagihan dana dan sumber dengan cepat untuk menghadapi krisis cuaca.

Di Boston, Datuk Bandar, Michelle Wu menutup semua sekolah awam dan bangunan perbandaran pada Isnin.

“Kami meminta semua orang merancang perjalanan lebih awal, kekal selamat dan hangat, serta menjauhi jalan raya untuk membantu usaha keselamatan awam,” katanya.

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani mengumumkan penutupan jalan raya, lebuh raya dan jambatan dari pukul 9 malam Ahad hingga tengah hari Isnin.

“Bandar New York belum pernah menghadapi ribut sebesar ini dalam dekad terakhir. Kami meminta penduduk New York mengelak semua perjalanan yang tidak penting,” katanya ketika menjelaskan pengisytiharan kecemasan itu.

Menurut laman web Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), salji ringan dan kabus beku dengan suhu serendah -1 darjah Celsius dicatatkan di New York awal pagi Isnin.

NWS meramalkan keadaan ribut salji akan terbentuk dengan cepat dari Maryland hingga ke timur daya New England, menjadikan perjalanan sangat berbahaya.

Pada puncak ribut, salji dijangka turun pada kadar 5 hingga 7sm inci sejam, dengan hampir 54 juta penduduk berada dalam laluan ribut tersebut.

Awal pagi Isnin, ribut mula menjejaskan New York, mengurangkan jarak penglihatan sehingga bangunan pencakar langit di Wall Street hampir tidak kelihatan dari kawasan berhampiran Brooklyn.

Pegawai ramalan turut menjangkakan gangguan bekalan elektrik akibat salji tebal dan angin kencang. Pada pukul 1:39 pagi (waktu tempatan), hampir 80,000 pengguna di negeri New Jersey dilaporkan mengalami gangguan elektrik, menurut laman web poweroutage.us.

Selain itu, lebih 5,000 penerbangan turut dibatalkan, menurut data pengesan FlightAware.

Seorang penduduk Brooklyn, Brandon Smith, 33, mengeluh kerana beberapa tempat kerja masih dibuka walaupun jalan ditutup.

“Ia akan menyukarkan kebanyakan rakyat New York bergerak kerana kami masih perlu pergi bekerja. Malangnya, jalan ditutup tetapi pekerjaan tetap menuntut kami hadir,” katanya.

NWS turut memberi amaran kemungkinan banjir pesisir sederhana hingga besar yang menjejaskan jalan dan harta di sepanjang Delaware hingga Cape Cod, Massachusetts.

Ribut ini berlaku hanya beberapa minggu selepas kawasan tersebut pulih daripada sistem cuaca musim sejuk luar biasa yang menyebabkan lebih 100 kematian.

“Yang terburuk masih belum datang. Apa sahaja yang anda perlukan seperti membeli barangan runcit, ubat-ubatan, makanan haiwan harus dilakukan sekarang,” kata Gabenor New York, Kathy Hochul.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya berehat, menonton Olimpik, membaca buku, mengikuti berita, dan kerap menghubungi keluarga, terutamanya ibu-bapa mereka.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×