KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) akan memanggil seorang lelaki memakai kostum ikan duyung semasa mempromosikan air balang di sebuah gerai di hadapan Penjara Pengkalan Chepa, di sini.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd. Asri Mat Daud.
“Perkara ini sudah dalam tindakan bahagian penguatkuasaan Jaheik. Jabatan itu akan memanggil pelaku dalam masa terdekat,” katanya.
Mohd. Asri turut mengingatkan peniaga di negeri ini mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan termasuk tidak bercanggah dengan syarat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya sudah menarik balik permit jualan gerai berkenaan.
Katanya, pada masa sama pihak berkuasa tempatan sudah mengeluarkan kompaun kepada pemilik gerai berkenaan, semalam.
“Siasatan awal mendapati, premis berkenaan tidak beroperasi pada hari pertama Ramadan selepas kandungan tersebut tular. Kandungan itu kemudian sudah dipadamkan selepas ia tular. Video tersebut dirakam sebelum puasa, namun tular ketika bulan Ramadan,” ujarnya.
Terdahulu, tular video berdurasi kurang daripada 30 saat itu tular di media sosial terutama Facebook menunjukkan lelaki tersebut berjoget-joget dengan memakai kostum ikan duyung berwarna pelangi.
Tindakan lelaki itu mendapat kecaman dan teguran orang kerana ia bertentangan dengan budaya masyarakat apabila memakai pakaian seperti wanita lebih-lebih pada bulan Ramadan.
Video tersebut dipercayai dimuat naik sebagai satu cara untuk mempromosikan perniagaan air balang. – UTUSAN











