TAHUN Melawat Malaysia 2026 secara rasminya kini bermula, memberikan ruang kepada masyarakat tempatan untuk melihat kembali wajah negara dengan perspektif segar dan menilai imej yang ingin dipersembahkan kepada dunia.
Logo rasmi tahun ini menarik perhatian ramai dengan simbol bunga raya, manakala maskot rasmi Tourism Malaysia 2026, pasangan beruang matahari bernama Wira (jantan) dan Manja (betina), memperlihatkan inovasi yang menarik.
Sehari-hari, saya menelusuri Jalan Perdana ke Masjid Negara dan terbiasa melihat simbol ‘lelaki’ dan ‘wanita’ di hadapan tandas awam bersebelahan pintu masuk masjid. Walaupun pembinaan fasiliti untuk kegunaan orang ramai tidak salah, namun kedudukan tandas ini boleh dipersoalkan kerana menonjol dan mudah menarik perhatian pelancong asing serta penganut Islam, sekali gus mengundang persepsi yang kurang menyenangkan terhadap reputasi Masjid Negara, bukan sahaja sebagai mercu tanda kebangsaan tetapi juga rumah ibadah.
Masjid Negara membuka pintunya kepada pengunjung dalam dan luar negara, termasuk mereka yang bukan beragama Islam bagi mendalami agama melalui ruang ibadahnya. Fasiliti disediakan untuk memastikan kesucian masjid terpelihara, termasuk pemakaian menutup aurat dan waktu lawatan yang dihadkan di luar waktu solat, sebagai cara mendidik etika dan adab dalam Islam.
Masjid ini dirasmikan pada Ogos 1965 oleh Yang di-Pertuan Agung Almarhum Tuanku Syed Putra, sebagai simbol negara baharu yang mencapai kemerdekaan selepas lebih 400 tahun di bawah jajahan dan pengaruh kuasa luar. Reka bentuknya menentang seni bina kolonial dan berbeza daripada Masjid Jamek Kuala Lumpur yang dibina lima dekad sebelumnya oleh arkitek British Arthur Bennison Hubback.
Pembinaan diterajui arkitek tempatan Datuk Baharuddin Kassim dan Datuk Hisham Albakri dengan sokongan pasukan Jabatan Kerja Raya, walaupun diselia arkitek Inggeris Howard Ashley.
Kubah utama menyerupai payung besar, menara setinggi 73 meter mengimbangi ruang solat utama yang asalnya menampung 8,000 jemaah, bertambah kepada 15,000 selepas ubah suai pada 1990-an.
Di bahagian barat, Makam Pahlawan dibina sebagai kawasan pengebumian pemimpin negara seperti Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Abdul Ghafar Baba dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Masjid Negara menjadi mercu tanda kebanggaan negara dan menerima kunjungan tetamu antarabangsa seperti Perdana Menteri India, Indira Gandhi (1968); Shah Iran Mohammad Reza Shah (1968); Ratu Elizabeth II (1972); Presiden Amerika Syarikat ,Barack Obama (2014) dan Canselor Jerman, Angela Merkel (2017).
Dalam sejarah Islam, masjid sering berperanan sebagai ‘jantung’ kota dan menara berfungsi seperti ‘rumah api’ bagi pengembara dan pedagang.
Namun, masjid moden tidak sepenuhnya mengekalkan fungsi tradisional. Namun, tandas awam berhampiran pintu masuk menonjol dan boleh mengganggu pandangan, berbeza dengan prinsip kebersihan dan kesucian masjid yang menekankan pengasingan ruang wuduk daripada tandas.
Pelancong rata-rata menghargai fasiliti awam di Kuala Lumpur tetapi lokasi tandas bersebelahan Masjid Negara dianggap kurang sesuai, mencemarkan lanskap dan memberi ruang terbuka yang tidak selayaknya bagi bangunan suci.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diharap menilai semula kesesuaian kedudukan tandas ini bagi memastikan kawasan masjid dipelihara.
Masjid Negara harus mendapat pengiktirafan dan penghormatan sewajarnya, sebagai monumen kebangsaan dan warisan berharga.
Masyarakat Malaysia, khususnya yang beragama Islam, bertanggungjawab mempertahankan kemurniannya, manakala rakyat secara amnya turut memastikan imej negara dihargai oleh dunia, terutamanya pada musim Tahun Melawat Malaysia 2026.-UTUSAN
UMAT ISLAM YANG PRIHATIN
Kuala Lumpur










