KUALA LUMPUR: Anggaran kos rawatan sepanjang hayat bagi setiap pesakit talasemia yang bergantung kepada transfusi bermula dari usia kanak-kanak sehingga 40 tahun adalah sebanyak AS$606,665.00 bersamaan hampir RM3 juta bagi setiap pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan kajian Economic Burden in the Management of Transfusion-Dependent Thalassaemia Patients in Malaysia from a Societal Perspective (2021), jumlah tersebut merangkumi kos penjagaan kesihatan sebanyak 92.5 peratus dan kos perbelanjaan penjagaan kesihatan yang ditanggung oleh pesakit serta keluarga sebanyak 7.5 peratus.
“Terapi iron chelation merupakan penyumbang utama kepada kos rawatan iaitu sebanyak 56.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kos, diikuti kos transfusi darah sebanyak 13.1 peratus,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai jumlah terkini pesakit talasemia di Malaysia, kos diperlukan bagi merawat seorang pesakit dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun serta sama ada kerajaan akan membangunkan kaedah rawatan terapi gen untuk pesakit di negara ini.
Dzulkefly berkata, berdasarkan data rasmi Annual Report of the Malaysia Thalassemia Registry 2023 yang diterbitkan pada 2025, terdapat kira-kira 9,554 pesakit talasemia direkodkan di Malaysia.
Katanya, data tersebut diperoleh daripada 102 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) serta dua hospital universiti yang terlibat dalam penyampaian perkhidmatan kepada pesakit talasemia.
“Rawatan standard kepada pesakit talasemia di negara ini melibatkan transfusi darah secara berkala, terapi chelation untuk mengawal beban zat besi berlebihan serta rawatan sokongan klinikal lain,” katanya.
Menurut Dzulkefly, terapi gen merupakan kaedah rawatan inovatif di mana sel stem pesakit sendiri diambil dan diubah suai secara genetik di makmal sebelum dimasukkan semula ke dalam tubuh pesakit.
Beliau berkata, di peringkat antarabangsa, dua kaedah utama yang sedang diguna pakai ialah penambahan gen menggunakan lentivirus serta pengeditan gen yang memanfaatkan teknologi CRISPR-Cas9.
Katanta, buat masa ini, produk seperti Zynteglo dan Casgevy telah mendapat kelulusan badan regulatori antarabangsa seperti Food and Drug Administration dan European Medicines Agency.
“Data menunjukkan lebih 90 peratus pesakit yang menerima rawatan ini tidak lagi memerlukan transfusi darah seumur hidup.
“Menurut Clinical Practice Guidelines (CPG) Management of Thalassaemia, Edisi Kedua 2024, Pemindahan Sel Stem Hematopoietik (HSCT) merupakan pilihan rawatan yang berpotensi menyembuhkan pesakit talasemia yang bergantung kepada transfusi di Malaysia.
“Perkhidmatan HSCT ditawarkan di dua fasiliti kerajaan iaitu Hospital Tunku Azizah dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah,” katanya.
Tambah beliau, jumlah pesakit talasemia yang telah sembuh dengan HSCT adalah seramai 212 pesakit sejak 2007 dengan kos rawatan antara RM100,000 hingga RM120,000 bagi seorang pesakit.
Namun katanya, kos bagi satu rawatan kuratif sekali sahaja di pasaran global adalah amat tinggi, iaitu antara AS$2.2 juta hingga AS$2.8 juta (kira-kira RM10 juta hingga RM13 juta) bagi setiap pesakit.
“Walaupun terapi ini berpotensi menjadi rawatan kuratif, ketersediaannya secara meluas masih terhad dan pelaksanaannya mencabar kerana memerlukan kemudahan khusus terapi gen, kepakaran multidisiplin, infrastruktur makmal berstandard tinggi, sistem rujukan yang mantap serta mekanisme pembiayaan kesihatan yang mampan,” katanya. – UTUSAN











